Pembentukan generasi perlu didokong ibu bapa dan masyarakat
JOHOR BAHRU, 2 Dis – “Generasi yang hebat perlu dibentuk sejak kecil dan pemerkasaan jati diri anak-anak terhadap agama, bangsa dan negaranya perlu didokong ibu bapa dan masyarakat,” ujar Yang Dipertua (YDP) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Johor, Hj. Mohd Tahir Hamdan ketika ucapan Majlis Penutup Kem Huffaz Cilik NAZIM Johor 2014 baru-baru ini.
Hal ini kerana, sejarah telah membuktikan bahawa Sultan Muhammad Al-Fateh telah membawa kemenangan umat Islam dengan tertakluknya kota Konstantinopel dengan keperibadian serta jati diri yang telah diperkasa sejak kecil oleh ibu bapa serta guru-gurunya.
Menurut beliau lagi, cabaran mendidik anak-anak masa kini amat besar dan menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan anak-anak terdidik dengan ajaran Islam berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.
“Hari ini begitu banyak fahaman songsang yang cuba menular masuk dalam masyarakat kita seperti ajaran Syiah. Ancaman sebegini begitu mengelirukan bagi mereka yang tidak mempunyai asas akidah yang jelas,” katanya di Savannah Hill Resort, Ulu Tiram.
Oleh itu Mohd Tahir melihat akan kepentingan memantapkan generasi harapan ummah dengan pembentukan aqidah dan jati diri yang kukuh melalui aktiviti yang dianjurkan oleh Kelab Nadi Al-Azim (Kelab Anak-anak Hebat) (NAZIM) Johor.
Beliau berharap NAZIM Johor akan terus komited dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti yang dapat membina peribadi anak-anak Muslim yang beriman, bijak, berani dan cergas.
Kem Huffaz Cilik yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini, menekankan aspek kekuatan jasmani dan rohani. Anak-anak yang berumur dari 7 hingga 12 tahun ini dibantu menghafaz surah-surah pilihan dan didedahkan dengan sukan sunnah seperti berkuda dan memanah.
Menurut Puan Latifah Suri dari Johor Bahru, dia tidak melepaskan peluang menghantar anaknya untuk menyertai kem yang diadakan setiap kali musim cuti sekolah.
“Saya amat berbesar hati menghantar anak saya ke kem ini dan suka untuk saya katakan bahawa ini adalah program terbaik yang pernah dianjurkan oleh NAZIM Johor sejak anak saya menyertainya tahun lalu. Bayaran yuran juga begitu berpatutan,” katanya.
Pasangan suami isteri, Mohd Faidzal Tumin dan Nurul Asyikin Ngadiso dari Skudai berkata program yang dianjurkan sangat berbaloi kerana selain aktiviti luar, anak-anak diajar untuk membudayakan solat dhuha dan hafazan di rumah.
Ibu bapa yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan NAZIM, boleh melayari halaman facebook ‘NAZIM JOHOR’.
Hazwani Mohd Dah
Wartawan ISMAweb
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan