Tarbiah jalan untuk mengubah dunia
UNIMAS, 21 Dis – “Tarbiah adalah satu-satunya jalan untuk mengubah dunia,” kata Ustaz Ahmad Adnin bin Roslan, penulis blog terkenal dan pengasas page ‘Tarbiah Sentap’ di Facebook dalam program ‘Sentapan Rohani’ yang diadakan di Dewan Syarahan Pusat Islam Tun Abang Salahudin (PITAS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) baru-baru ini.
Tambahnya lagi, tarbiah adalah perubahan seseorang individu ke arah yang lebih baik. Jika seseorang itu tidak berubah, maka dia sebenarnya tidak pernah mengikuti tarbiah.
“Tarbiah juga merupakan satu proses penambahan amal dan pembentukan manusia untuk mencapai objektif kita yang utama iaitu redha Allah. Redha Allah terletak pada hati, akal, jasmani dan ukhwah.”
Menurutnya lagi, seseorang itu tidak akan pernah merasai nikmat ukhwah tanpa mengikuti tarbiah.
Beliau juga menekankan kepentingan tarbiah dalam kita ingin melawan pihak musuh dan menjamin keislaman diri kita sendiri sehingga kita mencapai usia tua kelak.
Program selama sehari ini mengenengahkan 4 slot iaitu ‘Kuatkan Asasmu Wahai Pemuda’, ‘Pengenalan PEMBINA’ yang dikendalikan oleh Pengerusi PEMBINA UNIMAS, saudara Mohd Khairulanam bin Zakaria, slot ketiga ‘Tajamkan Taring-taring Islam’ dan slot keempat adalah sesi forum Ustaz Adnin bersama moderator saudara Mohamad Nor Fakihin Aqsa bin Mohd Nor Azam dan ahli panel kedua iaitu saudara Nizzal Syafiq bin Bostaman, mantan Pengerusi PEMBINA UNIMAS yang kini merupakan Pengerusi PEMBINA cawangan Samarahan.
Seramai 290 pelajar yang menghadiri program ‘Sentapan Rohani’ ini.
Antara yang turut hadir ialah Prof. Mohd Fadzil bin Abdul Rahman, Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UNIMAS, saudari Sharifah binti Mohamad, Ketua Beliawanis PEMBINA Cawangan Samarahan, dan saudara Muhamad Saufi bin Arif, wakil Majlis Pimpinan Pelajar UNIMAS.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan