Timbalan Presiden ISMA bidas Khutubul Zaman dan Saifudin
BANGI, 10 Dis – Kenyataan Ahli Majlis Peguam Khutubul Zaman Bukhari bahawa negara ini negara sekular adalah tidak benar dan bertentangan dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan bahawa Islam adalah agama persekutuan.
Perkara ini telah disahkan oleh Datuk Seri Nazri Aziz semasa sidang parlimen pada Oktober 2012 dan juga ditegaskan sekali lagi oleh Datuk Seri Jamil Khir Baharom di sidang parlimen pada Jun 2014.
Timbalan Presiden ISMA Tuan Haji Aminuddin Yahaya berkata kenyataan Khutubul Zaman yang turut disokong oleh Datuk Saifudin Abdullah dalam sebuah forum malam tadi adalah jelas salah dan cuba mengelirukan rakyat dan menuduh mana-mana pihak yang mempertahankan Islam sebagai ekstremis.
“Kes yang dirujuk oleh Khutubul Zaman ialah kes Che Omar Che Soh. Dalam kes itu hakim Tun Salleh Abbas hanya menyatakan bahawa undang-undang negara adalah sekular, tetapi tidak menyatakan Malaysia negara sekular. Ini satu perbezaan yang besar.
“Ini kemudiannya telah dijelaskan dengan lebih luas lagi oleh hakim dalam kes Lina Joy vs MAIWP yang memberikan tafsiran lebih luas mengenai Islam dalam perlembagaan.
“Dan jika diteliti tidak ada perkataan sekular disebut dalam perlembagaan,” kata beliau kepada ISMAweb.
Katanya lagi, status Malaysia sebagai negara Islam juga selari dengan sumpah jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong atas nama Allah dalam Jadual Keempat Perkara 37 Perlembagaan.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan