TPPA – Ujian pertama untuk nilai komitmen Najib terhadap agenda bumiputera


BANGI, 6 Dis – Rentetan janji yang dilafazkan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam perhimpunan parti itu untuk menjaga kepentingan Melayu dan bumiputera, beliau diminta agar membuat pertimbangan sewajarnya dengan tidak menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang akan memberi kesan langsung terhadap kedudukan orang Melayu dan bumiputera dan segala implikasi ke atas dasar-dasar ekonomi sedia ada terhadap mereka.

Naib Presiden 2 Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdul Rahman Mt Dali berkata, kita mahu lihat sejauh mana Datuk Seri Najib komited terhadap agenda bumiputera seperti yang dilafazkannya.

“Tidakkah Najib tahu kesan TPPA ke atas orang Melayu yang memberi peluang kepada pihak asing menceroboh secara ‘rasmi’ ke dalam negara ini.

“Selepas bergema dan bersemangat mempertahan kepentingan Melayu, adakah Najib lemah untuk bertahan lalu tangannya dikilas oleh kuasa asing untuk dipaksa menandatangani TPPA?” soal Abdul Rahman.

2 Disember lalu, kerajaan memberi isyarat bahawa TPPA mungkin akan ditandatangani apabila Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan optimis TPPA mampu memberi lebih banyak peluang untuk mengembangkan industri automotif negara dan melindungi industri tempatan.

“Bukankah dengan TPPA segala ‘barriers and protections’ terpaksa diangkat termasuk kuota-kuota dan apa-apa kepentingan orang Melayu akan tergadai?

“Bukankah pihak kerajaan boleh didakwa jika mana-mana pihak luar dan dalam negara mendapati kerajaan menghalang ‘pencerobohan’ ke atas hak-hak Melayu yang selama ini termaktub oleh perlembagaaan (setelah pemeteraian TPPA)?

“Kita harap pihak kerajaan tidak menggula-gulakan rakyat dan mengambil kesempatan membuat keputusan di dalam keadaan rakyat marhaen sukar memahami TPPA itu. Ditambah pula keanehan urusan TPPA dibuat dalam keadaan butir-butirannya dirahsiakan.

“Sebaliknya Datuk Seri Najib boleh memilih untuk mencipta legasi sebagai pemimpin Malaysia yang punya keberanian dengan menolak TPPA,” tambah beliau.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?