2015: Antara muhasabah dan harapan baru


Bismillahirahmanirahim. Assalamualikum wbt.

Alhamdullilah, Alhamdullilah, Alhamdullilah… Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam, segala syukur dipanjatkan kepada Illahi kerana kita masih lagi diberi peluang oleh-Nya untuk terus bernafas di atas muka bumi ini. Sedar tak sedar, tahun 2015 bakal menjelma.

Dengan melangkahnya kita ke tahun 2015, bermakna usia kita juga semakin meningkat. Dalam erti kata lain, ajal kita semakin hampir. Hadis Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa orang cerdik adalah orang yang banyak mengingati mati.

Daripada Ibnu ‘Umar Radhiyallahuanhu bahawasanya beliau berkata ;

“Kami duduk bersama Rasulullah, datanglah seorang leIaki dari kaum Anshar, lalu mengucapkan salam kepada Nabi kemudian dia berkata, “Wahai Rasulullah, orang mukmin manakah yang paling utama?”

Baginda bersabda, “Mereka yang paling baik akhlaknya”

Dia bertanya lagi, “Orang mukmin manakah yang paling cerdik?”

Baginda bersabda, “Mereka yang paling banyak mengingati kematian dan orang paling baik persediaannya untuk kehidupan setelahnya, mereka itulah orang-orang cerdik.”

(Hadis Riwayat ibnu Majah. Dinilai Sahih oleh al-Albani).

Orang cerdik itu bukanlah hanya orang yang mendapat segulung ijazah, tetapi orang cerdik itu sentiasa menyediakan bekalan yang terbaik untuk kehidupan di akhirat kelak. Moga kita semua tergolong dalam golongan tersebut. Oleh itu, saya menyeru anda dan diri saya sendiri untuk menggunakan masa sebaik-baiknya kerana masa itu ibarat hidup kita, jika tidak digunakan sebaik-baiknya, nescaya, hancurlah diri kita.

Sebelum kita meninggalkan tahun 2014 ini, apa kata anda dan saya sendiri bermuhasabah dan menilai diri sejenak apakah yang telah kita lakukan sepanjang tahun tersebut.

Sudahkah tercapai azamku?

Adakah iman dan amalku bertambah?

Apakah yang telah aku sumbangkan untuk saudara Islamku yang lain?”

Adakah kita memperoleh jawapan yang memuaskan daripada persoalan-persoalan ini? Jika ya, Alhamdullilah dan mabruk saya ucapkan.

Kita akan meninggalkan tahun 2014 ini dengan seribu kenangan sama ada kenangan manis mahupun pahit , akan tetapi pengalaman inilah yang mengajar kita menjadi muslim yang lebih baik dari sehari ke sehari. Ada orang kehilangan orang tersayang & rumah, ada yang melahirkan anak, ada yang mendirikan masjid dan sebagainya.  Semua yang terjadi dalam kehidupan kita adalah ketentuan dan ujian daripada Allah, terpulang kepada kita untuk menerimanya dengan redha ataupun tidak.

Tahun 2014 juga merupakan tahun yang mencabar buat negara kita, Malaysia. Satu per satu rentetan peristiwa berlaku. Pada bulan Mac 2014 menyaksikan kita kehilangan pesawat MH370 yang sampai sekarang belum diketahui nasibnya. Selain itu, kita juga diuji dengan kemarau yang menyebabkan air terpaksa dicatu di beberapa buah negeri. Selepas itu, sekali lagi dunia aviasi dikejutkan dengan kejadian MH17 ditembak jatuh yang mengorbankan semua penumpang dan anak kapal. Peristiwa menyayat hati ini bukan sahaja dirasai oleh ahli keluarga dan rakyat Malaysia bahkan turut dirasai oleh seluruh masyarakat dunia. Banjir luar biasa yang melanda kebanyakkan negeri di Malaysia juga mengejutkan kita. Bah besar yang melanda Kelantan terutamanya, menyebabkan ramai orang kehilangan harta benda dan rumah. Pengakhiran tahun 2014 menyaksikan kita sekali lagi bersedih dengan kejadian pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang terhempas jatuh ke Laut Jawa di mana semua penumpang dan anak kapal dipercayai terkorban. Jika kita perhatikan dan selami semua peristiwa yang berlaku ini dengan mata iman dan mata hati, nescaya kita dapat melihat bahawa ini merupakan ujian Allah kepada hamba-Nya.

“Telah tampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka,agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”.

Ar-rum(30;41)

Sudah terang lagi bersuluh, melalui ayat ini Allah sebenarnya berkali-kali menegur kita supaya insaf dan kembali berpegang kepada-Nya. Subhanallah, betapa halusnya cara Allah menegur kita dan betapa indahnya perancangan-Nya. Di sebalik musibah yang berlaku, terdapat hikmah dan ibrah yang cuba disampaikan-Nya. Kejadian banjir yang berlaku menyebabkan program hiburan seperti Konsert Ambang Tahun Baru 2015 dibatalkan dan sambutan tahun baru disambut dengan bacaan Yassin di masjid-masjid, ceramah agama dan sebagainya.

Tahun 2014 juga menyaksikan perang antara Palestin dan Israel tercetus. Dalam perang ini Israel menerima tentangan hebat daripada tentera Al-Qassam yang mempunyai semangat jihad yang tinggi dan serangan roket yang mampu menjangkau seluruh kawasan Israel. Kebangkitan negara Palestin ini membakar semangat umat Islam yang lain untuk turut bersama-sama berganding bahu menegakkan Islam di muka bumi ini suatu hari nanti.

Selain itu, kita juga berdepan dengan ancaman pemikiran dan ajaran yang bertentangan dengan agama Islam yang senyap menyusup ke dalam masyarakat di Malaysia. Ancaman feminisme, liberalisme, sekularisme dan Islam moderate ibarat ‘kanser’ dalam masyarakat di mana ia merebak secara sulit dan akhirnya membunuh kita. Oleh itu, pelbagai kempen dan ceramah diadakan untuk menyedarkan masyarakat seperti kempen selamatkan ummah dan sebagainya.

Justeru, kita sebagai mahasiswa dan mahasiswi yang belajar di India haruslah mempersiapkan diri supaya mempunyai jati diri yang teguh dan iman yang kuat untuk menghadapi segala ujian yang bakal mendatang. Untuk azam 2015 ini, setiap daripada kita haruslah mempunyai matlamat yang jelas dalam hidup . Ingatlah bahawa matlamat hidup kita yang sebenar adalah redha Allah dan syurga yang kekal abadi. Jika kita mahukan syurga, haruslah beramal seperti ahli syurga. Dengan rasa rendah diri, saya menyeru anda semua dan diri saya sendiri untuk sama-sama berdoa semoga Allah sentiasa memberikan redha-Nya dan petunjuk hidayah-Nya untuk kita semua. Ayuh semua kita buka buku tahun 2015 ini dengan penuh rasa insaf dan rendah diri sebagai hamba-Nya.

Akhir kalam, selamat tahun baru 2015.

“ISMA India, Membangun Mahasiswa Beragenda”

Nur Fatimatul Huda Binti Kamarudin
Timbalan Setiausaha ISMA India
Doktor Pelatih di  Manipal College of Dental Sciences (MCODS ), Mangalore

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian