Bakal mahasiswa perlu kukuhkan jati diri Islam


JOHOR BAHRU, 14 Jan – “Bakal mahasiswa harus mempunyai jati diri Islam yang jelas dan kukuh untuk menghadapi cabaran mahasiswa kelak. Memasuki fasa perpindahan daripada alam persekolahan dan bergelar mahasiswa bukannya mudah dan memerlukan para remaja untuk bersiap sedia membentuk masa depan masing-masing.”

Demikian ujar ahli jawatankuasa Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) cawangan Johor, En. Mohd Aizat Farid Hasan dalam pengisian forum bertajuk “Cabaran Mahasiswa” semasa Karnival Lepasan Sekolah (KLS) di kompleks Kementerian Dalam Negeri, Negeri Johor di sini baru-baru ini.

Katanya lagi, sebagai seorang mahasiswa, pengurusan diri haruslah mantap dan tersusun kerana peranan yang harus dimainkan oleh mahasiswa adalah lebih besar berbanding semasa di alam persekolahan.

“Bergelar sebagai seorang mahasiswa juga bermakna bertambahnya tanggungjawab para remaja dan ini menuntut mereka untuk menyusun masa dengan baik agar terisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat,” jelas beliau.

Program yang dijalankan selama sehari itu telah banyak memberi pendedahan dan pencerahan kepada para peserta untuk menyambung pengajian pada peringkat yang seterusnya. Program anjuran KRIM cawangan Johor dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Johor itu telah dihadiri oleh seramai 150 orang peserta.

KLS pada kali ini menyediakan sebanyak 12 tapak pameran kerjaya yang terdiri daripada pelbagai sektor pekerjaan bagi memberi pendedahan secara terus mengenai kerjaya yang boleh diceburi para peserta.

Program ‘mentor-mentee’ turut diadakan bagi membimbing para mentee yang terdiri dari kalangan para peserta untuk mendaftar ke pusat pengajian masing-masing. Program ini dijalankan untuk tempoh lima bulan atau sehingga mentee diterima masuk ke pusat pengajian masing-masing.



Mohd Shafiq Azmi
Wartawan ISMAweb

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?