I-Medik ajak rakyat jadi sukarelawan


BANGI, 4 Jan – Susulan banjir teruk yang melanda pantai timur, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) mensasarkan untuk mendapatkan 3000 sukarelawan untuk membantu mangsa banjir.

Menurut Timbalan Presiden I-Medik, Dr Mohamad Nor b Sundari, masih banyak kerja yang perlu dilakukan di kawasan-kawasan banjir.

“Kesan banjir yang amat dasyat ini pasti akan memakan masa berbulan untuk dipulihkan.

“Untuk itu, kami mensasarkan untuk mendapatkan 3000 sukarelawan untuk bantu tenaga I-Medik yang sedia ada di lokasi-lokasi banjir”, jelasnya.

Dr Mohamad Nor berkata, I-Medik sudahpun menghantar ahlinya untuk beberapa misi bantuan banjir.

“Ini termasuklah bantuan perubatan di Kuantan, Kuala Krai, Jerantut, Dungun, Kemaman dan Pekan, Pahang.

Beliau yang juga merupakan Pakar Perunding Bedah Orthopedik dan Traumatology, Pusat Perubatan Kuantan berkata bantuan yang disediakan oleh I-Medik kepada mangsa banjir berupa pemeriksaan kesihatan percuma.

“Selain itu, I-Medik turut memberikan motivasi dan kaunseling kepada anak-anak mangsa banjir serta ceramah kesihatan di pusat-pusat pemindahan banjir.

Lantaran itu, kata beliau, I-Medik mengajak orang ramai yang bersedia untuk turun padang membantu mangsa banjir agar mendaftar sebagai sukarelawan I-Medik.

“Kami perlu ramai tenaga pekerja untuk merealisasikan misi bantuan banjir ini.

“Kerana itu, kami ingin menyeru orang ramai, samaada mempunyai latar belakang perubatan mahupun tidak, untuk bersama-sama menjadi sukarelawan I-Medik”, serunya.

Katanya lagi, sukarelawan I-Medik ini bukan semata-mata untuk misi bantuan banjir, malah akan digerakkan juga untuk pelbagai misi bantuan lain di mana sahaja seperti di kawasan gempa bumi, kawasan yang perlukan bantuan perubatan seperti di Sumatera malah juga untuk ke Gaza.

Untuk mendaftar sebagai sukarelawan I-Medik, orang ramai boleh memberikan nama, umur, no kad pengenalan, emel, no hp, alamat, pekerjaan, alamat tempat kerja, minat dan kelebihan kepada emel keahlianimedikpusat@gmail.com.

Ikatan Pengamal Perubatan Muslim Malaysia merupakan sebuah badan yang berdaftar dengan ROS dan dianggotai oleh pengamal perubatan, pergigian, farmasi, jururawat dan pengamal kesihatan sains bersekutu yang lain.


Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?