Ibarat nampak cahaya di hujung terowong
KUALA TERENGGANU, 14 Jan – “KLS adalah karnival terbaik yang pernah saya hadiri. Selepas mendengar Slot Hala Tuju dan Perkongsian Kerjaya, saya rasa sudah menemui arah saya selepas ini ibarat nampak cahaya di hujung terowong.”
Demikian ujar Saudari Nur Syakinah A. Rahim, salah seorang peserta Karnival Lepasan Sekolah (KLS) peringkat ISMA Cawangan Kuala Terengganu dan Dungun pada 10 Januari lalu.
Karnival satu hari anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) yang berlangsung di Dewan Auditorium, Bangunan Akademik, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ini berjaya menarik 232 orang peserta sekitar daerah tersebut.
Pelbagai testimoni hebat telah diberikan oleh para peserta mengenai karnival kali ini.
Antaranya, ramai peserta yang terinspirasi dengan perkongsian pengalaman serta pencerahan yang diberikan oleh figura-figura yang ditampilkan seperti Dr. Nujaimin Udin iaitu pakar Neurologi, Ir. Mursyidi Mohammad iaitu Pengurus IPetrol Sdn. Bhd dan Saudara M. Nor Bakri Shafe, Jurulatih dan Pengarah Urusan Caliphs Mind Training and Consultancy.
Mereka turut berterima kasih atas penganjuran karnival yang bermanfaat ini.
“Saya rasa sangat bertuah berada dalam KLS ini kerana banyak pencerahan tentang halatuju selepas SPM, biasiswa-biasiswa yang ada, senarai universiti serta kos yang ditawarkan.
“Dengan bayaran yang berpatutan, sememangnya tidak rugi saya hadir di sini,” jelas Saudari Zainab Nurwira, pelajar lepasan SMKA Sheikh Abdul Malek.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan