Kerajaan perpaduan di Kelantan, satu mainan politik?
Baru-baru ini banjir besar telah melanda beberapa buah negeri termasuk Kelantan. Pelbagai kemusnahan dan kerosakan dihadapi. Ada pihak mengusulkan agar PAS dan UMNO mewujudkan kerajaan perpaduan bagi memulihkan keadaan.
PAS menolak cadangan tersebut dengan alasan kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri telah pun wujud melalui penubuhan jawatankuasa pasca banjir.
Rancangan Dimensi minggu ini menjemput Timbalan Presiden ISMA Tuan Haji Aminuddin Yahaya selaku tetamu jemputan bagi mendapatkan penjelasan beliau berhubung isu ini.
Soalan: Apakah pandangan tuan mengenai cadangan kerajaan perpaduan PAS-UMNO sempena banjir ini? Adakah perpaduan yang dimaksudkan hanya untuk mengatasi masalah banjir atau lebih daripada itu?
Aminuddin: Pertamanya, ISMA melahirkan rasa simpati terhadap apa yang dialami oleh rakyat Kelantan.
Alhamdulillah kita pun telah menghantar 1000 orang sukarelawan untuk membantu mereka dan kita berharap rakyat Kelantan dapat bersabar dengan ujian Allah yang besar ini dan semoga ia menjadi titik tolak kepada perubahan yang lebih baik untuk rakyat Kelantan khususnya dan masyarakat Malaysia amnya.
Isu perpaduan PAS dan UMNO dalam konteks menyelesaikan isu banjir, secara umum semua orang mengalu-alukan cadangan ini kerana isu ini bukan isu politik tetapi lebih kepada kemaslahatan dan keselamatan rakyat Malaysia keseluruhannya.
Apabila membicarakan mengenai UMNO dan PAS, sudah tentu ia bukan perkara yang baru dan mudah untuk dilaksanakan. Sudah tentu kena ada mukaddimah-mukaddimah yang kita rasakan perlu sebelum mencapai perpaduan yang sebenarnya yang mungkin diingini oleh semua rakyat di negara ini.
Bagi saya, cadangan ini sangat baik sebagai permulaan kepada kesatuan yang lebih baik lagi di masa-masa hadapan. Sudah tentu ia membawa kebaikan yang sangat besar kepada rakyat Kelantan khususnya.
Ini peluang terbaik dan kita sangat menyokong, isu banjir ini sebagai mukaddimah kepada bentuk-bentuk yang lain yang mungkijn berlaku lagi akan datang.
Kita tahu, untuk mempertemukan UMNO dengan PAS bukan satu perkara yang mudah dan sesimple yang sesetengah orang mungkin jangkakan. Sudah banyak peristiwa yang menyebabkan berlaku ketidakselarian antara UMNO dan PAS.
Kita mengharapkan ini satu noktah yang baik untuk kerjasama yang lebih besar pada masa hadapan.
Soalan: Adakah kerjasama kedua-dua pihak terhad dalam konteks pasca banjir semata-mata atau sepatutnya dalam konteks yang lebih luas?
Aminuddin: Untuk mencapai perpaduan yang semua rakyat ternanti-nanti, ia bukan satu perkara yang mudah dan ia memerlukan kepada forum yang lain.
Ini kerana banyak perkara yang perlu dibincangkan. Kedua-dua pihak perlu dipanggil untuk membincangkan isu-isu besar yang harus diselesaikan.
Dalam konteks ini ia memerlukan elemen tolak ansur antara kedua-dua pihak, tidak boleh mana-mana pihak meminta perkara yang tidak boleh dilakukan oleh pihak satu lagi.
Walaupun begitu, ini tidak bermakna isu banjir bukan salah satu faktor untuk mewujudkan kerjasama UMNO dan PAS, meskipun masih jauh lagi untuk mencapai perpaduan sebenar.
Sekurang-kurangnya duduk, berfikir bersama (diadakan). Dalam masyarakat kita forum untuk saling berkenalan dan saling memahami tidak wujud menyebabkan kita banyak terpengaruh dengan apa yang dilapor dalam media.
Kebanyakan yang dilaporkan media berbentuk retorik dan fitnah yang dicipta bagi memastikan orang Melayu tidak bersatu. Kita juga maklum banyak media alternatif dikuasai oleh pihak-pihak yang tidak mahu orang Islam dan Melayu bersatu.
Sudah tentu ini memberi impak negatif antara kedua pihak.
Jadi untuk mencapai kesatuan yang sebenar, keterlibatan semua pihak duduk berbincang dalam mencari penyelesaian, ini adalah satu yang sukar.
Mungkin isu-isu yang ada boleh dipecah-pecahkan.
Isu banjir ini memberi ruang kepada kedua-dua pemimpin di peringkat negeri dan pusat duduk berbincang.
Daripada itu, berlaku proses berkenalan dan memahami antara kedua pihak.
Kita sangat menyokong dan tidak harus kedua-dua pihak menolak cadangan ini.
Isu yang umat Islam hadapi sekarang amat besar. Isu kristianisasi, pemurtadan, sasial, akhlak dan sebagainya yang melangkaui isu-isu politik.
Kalaulah isu ini kita kesampingkan atas alasan kita ini terlalu berbeza, dan tak mungkin boleh duduk bersama. Sebenarnya kedua-dua belah pihak yang rugi.
Dalam konteks politik sekarang ini, Islam akan rugi, Melayu akan rugi, semua orang akan rugi.
Yang untung ialah orang yang suka kita berpecah, pihak-pihak barat umpamanya.
Orang politik perlu lihat beyond politic, perlu rasional dan perlu matang. Akhirnya persoalan kita, mereka berpolitik untuk apa?
Kerana menang kerusi atau sebenarnya untuk kemaslahatan rakyat dan orang Islam?
Soalan: Terdapat suara sumbang yang tidak setuju dengan cadangan kerajaan perpaduan, lalu mengatakan perpaduan Malaysia lebih utama daripada perpaduan Melayu. Apa pandangan tuan?
Aminuddin: Sebelum menjawab soalan ini, menyentuh isu PAS dan UMNO, kita tidak boleh salahkan PAS atau UMNO. Dalam konteks PAS, banyak perkara menjadi persoalan kepada mereka yang masih belum diselesaikan oleh pihak UMNO.
Contohnya, isu royalti adalah isu yang besar bagi pihak Kelantan sendiri. Mereka (PAS) mempersoalkan adakah pihak UMNO serius untuk bersama kalau isu ini masih belum boleh selesaikan sejak puluhan tahun.
Begitu juga dalam isu hudud, sejauh mana seriusnya UMNO dalam isu ini.
Dalam konteks ini kita tidak salahkan mana-mana pihak apabila wujudnya pandangan-pandangan negatif seperti ini.
Menjawab soal kesatuan Malaysia, kita kena ingat perkara yang paling penting dalam kestabilan mana-mana negara ialah kestabilan politik.
Untuk sesebuah negara maju berkembang, mesti ada kestabilan politik. Kestabilan politik boleh dicapai dengan adanya beberapa ciri.
Antaranya ialah mesti ada keseimbangan dalam konteks ekonomi bagi semua kaum.
Kedua, dalam aspek keagamaan. Dalam realiti Malaysia, Islam adalah agama persekutuan. Perkara ini harus diletak sebagai asas di dalam mencapai hubungan harmoni antara kaum.
Banyak lagi faktor lain yang menjadi perkara penting dalam mencapai kestabilan politik. Dalam konteks ini sudah tentu kita akan melihat kepada golongan majoriti. Ini dalam mana-mana masyarakat dan organisasi. Perkara yang paling utama ialah kena tengok kepada golongan majoriti.
Kalau golongan majoriti ini tidak selesa, maka negara itu akan jadi kucar-kacir. Majoriti di Malaysia adalah orang Melayu dan Islam.
Keselesaan orang Melayu Islam terletak pada dua aspek yang penting, iaitu keagamaan dan ekonomi. Ini dua faktor besar yang sensitif di kalangan masyarakat Melayu.
Apabila kita tengok perlembagaan, dua perkara ini menjadi core dalam perlembagaan kita. Islam sebagai agama persekutuan dan orang Melayu dan bumiputera diberikan keistimewaan dalam aspek-aspek tertentu.
Apabila golongan majoriti ini dalam keadaan stabil, sudah tentu seluruh yang minoriti akan stabil. Jadi dalam konteks kesatuan Malaysia tidak mungkin boleh tercapai kalau penyatuan orang Melayu tidak tercapai.
Tidak mungkin penyatuan orang Melayu tercapai kalau timbul isu-isu berkaitan dua perkara yang saya sebutkan tadi. Malangnya ramai orang memandang ringan isu ini malah ada yang memperkecilkan isu ini dan menganggap ia tidak penting, lalu menganggap kesatuan Malaysia lebih penting.
Kita masih belum sentuh aspek sejarah di Tanah Melayu dan sebagainya.
Kita melihat tidak mungkin tercapai kesatuan Malaysia selagi belum tercapai kesatuan dan keutuhan kumpulan majoriti. Sebab itu dasar-dasar seperti DEB, Dasar Pendidikan Negara diletakkan sebagai keutamaan selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969, setelah menyedari jurang ekonomi, jurang sosial yang begitu besar antara golongan majoriti dan minoriti.
Kita tengok di mana-mana negara apabila ada golongan majoriti yang tidak berpuas hati, negara akan menjadi huru hara.
Akhirnya kesatuan Malaysia tidak akan membawa makna apa-apa kalau golongan majoriti tidak dapat disatukan atas satu formula yang telah diasaskan oleh pihak kerajaan yang lepas.
Soalan: ISMA telah memperkenalkan slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat sejak tahun 2010. Setakat ini, adakah masih ada harapan untuk Melayu bersepakat?
Aminuddin: Banyak pihak telah menerima konsep ini, cuma mereka berani atau tidak untuk menyuarakannya. Walaupun kita menghadapi kekangan dan dilabel sebagai rasis, ekstremis, ini sedikit sebanyak menakutkan rakyat terutama orang Melayu untuk memperkatakan soal kesepakatan Melayu.
Namun kita yakin, dalam survey dan pergaulan yang kita lakukan dengan pihak-pihak lain, NGO-NGO lain, mereka menerima konsep ini sebagai perkara yang fundamental, yang boleh mencapai kestabilan kaum, kestabilan negara. Mesti ada kesepakatan itu, ia sebagai tonggak.
Kita tak rasa ini telah ditelan zaman bahkan ia akan menjadi asas sampai bila-bila sehinggalah lahirnya kedaulatan bangsa dan kedaulatan agama. Inilah yang seharusnya dibuat oleh semua parti politik Islam dan Melayu, tanpa menidakkan orang lain.
Bukan bermakna dengan adanya slogan ini, kita menidakkan kaum lain. Slogan ini hanya memperkukuhkan apa yang ada dalam perlembagaan mengenai pentingnya mendaulatkan Islam, dan ia tidak akan tercapai melainkan dengan kesatuan bangsa Melayu.
Kalau itu logiknya dan orang masih tidak boleh menerima, saya rasa itu memang disengajakan dan tidak mahu menerima kebenaran, sama ada orang Islam mahupun orang bukan Islam.
Soalan: Kita berpatah balik dalam isu Kelantan. Masih banyak tanggungjawab pihak kerajaan pusat yang masih belum dilaksanakan seperti dalam isu royalti dan pembinaan lebuh raya di negeri itu. Mungkin kerana perbezaan parti menjadi punca kerajaan pusat tidak melaksanakannya. Sampai bila kesatuan akan tercapai jika ada negeri dianaktirikan hanya semata-mata berbeza parti politik?
Aminuddin: Ini yang saya dikatakan tadi. Kita tidak menyalahkan PAS, mereka ada perasaan sangsi terhadap keikhlasan UMNO.
Kelantan sebagai contoh, sudah jelas bagaimana sikap kerajaan pusat terhadap kerajaan negeri.
Kita kena jelas mengapa kita berpolitik.
Adakah kita berpolitik kerana parti atau kerana nak menjaga kebajikan rakyat dan agama Islam?
Kalau hanya kerana mempertahankan parti, beginilah jadinya. Tak kisahlah UMNO atau PAS.
Yang penting bagi mereka, winners win all. Kalau dia menang, menang semua. Kalau dia kalah, kalah semua.
Saya agak terkilan dengan sikap yang mengecewakan oleh kerajaan pusat.
Kalau saya sebagai pimpinan PAS, saya juga akan sangsi adakah benar-benar UMNO serius mahu bersatu atau hanya mainan politik?
Orang yang serius mesti menunjukkan keseriusan dan keikhlasannya. Bukan berkata mahu bersatu tetapi pada masa sama menikam dari belakang.
PAS dengan pengalaman yang begitu lama dalam bidang politik, mereka tahu mainan ini.
Bagi saya kena ada give and take. UMNO perlu lebih rasional dalam konteks Islam dan Melayu, kerana yang merana pun orang Melayu di Kelantan.
PAS pun kena rasional juga, tidak boleh demand perkara yang tidak logik seperti UMNO perlu menukar perlembagaan.
Banyak ruang untuk bersama sebenarnya, dan terlalu sedikit perbezaan itu.
Namun kedua-dua pihak mesti menunjukkan keseriusan, dengan itu barulah boleh dibawa ke satu meja untuk berunding.
Apa yang berlaku ini sangat malang. Kita tahu negeri Kelantan antara negeri yang mundur walaupun mereka mempunyai minyak yang sangat banyak.
Saya rasa ini adalah antara langkah-langkah awal yang pihak pusat harus mainkan bagi mencapai kesepakatan antara dua belah pihak.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan