KLS: Karnival yang terbaik pernah dihadiri
KUALA TERENGGANU, 13 Jan – “KLS adalah karnival terbaik yang pernah saya hadiri. Selepas Slot Halatuju dan Perkongsian Kerjaya, saya rasa sudah menemui arah saya selepas ini ibarat nampak cahaya di hujung terowong,” ujar Nur Syakinah A. Rahim, salah seorang peserta Karnival Lepasan Sekolah (KLS) gabungan cawangan Kuala Terengganu dan Dungun baru-baru ini.
Karnival satu hari yang berlangsung di Dewan Auditorium, Bangunan Akademik, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ini berjaya menarik 232 orang peserta sekitar daerah tersebut.
Rata-rata peserta teruja dengan perkongsian pengalaman serta pencerahan yang diberikan oleh tokoh-tokoh yang ditampilkan seperti Dr. Nujaimin Udin, Pakar Neurologi, Ir.Mursyidi Mohammad, Pengurus IPetrol Sdn. Bhd dan M.Nor Bakri Shafe, Jurulatih dan Pengarah Urusan Caliphs Mind Training and Consultancy.
“Saya rasa sangat bertuah berada dalam KLS ini kerana banyak pencerahan tentang halatuju selepas SPM, biasiswa-biasiswa yang ada, senarai universiti serta kos yang ditawarkan. Dengan bayaran yang berpatutan, sememangnya tidak rugi saya hadir di sini,” jelas Zainab Nurwira, pelajar lepasan SMKA Sheikh Abdul Malek.
KLS merupakan anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) bersama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Kuala Terengganu dan Dungun. ini diharap dapat membuka seribu satu jalan kepada peserta untuk membuat pilihan yang terbaik dalam menentukan siapa mereka pada masa hadapan. InsyaaAllah.
KLS juga merupakan acara tahunan yang dijalankan di seluruh Cawangan ISMA termasuk di Sabah dan Sarawak.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan