KLS2015 | Rancang masa depan supaya tidak kecewa
JOHOR BAHRU, 11 Jan – “Perancangan masa depan yang teliti adalah amat penting supaya para pelajar yang sudah menamatkan alam persekolahan tidak berasa kecewa sekiranya tidak mendapat peluang sepertimana yang diinginkan.”
Demikian menurut Ahli Jawatankuasa Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) cawangan Johor, Cikgu Syarifah Maimunah Syed Zaid yang juga merupakan penceramah jemputan slot ‘What’s next after SPM’ semasa program Karnival Lepasan Sekolah (KLS) di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Johor Bahru semalam.
Dalam sesi yang sama, beliau turut membincangkan hala tuju yang harus dibawa oleh para peserta lepasan sekolah. Isu diantara minat dan peluang kerjaya adalah antara yang turut dibincangkan.
“Adalah penting bagi setiap kita untuk mengenali personaliti diri, minat, serta peluang kerjaya dalam memilih bidang pengajian di masa hadapan. Tidak semestinya perlu tinggalkan minat sekiranya kerjaya di bidang yang lain. Kita masih boleh mempraktikkan minat tersebut di waktu lapang,” tambahnya.
Dalam slot seterusnya mengenai “Tips Biasiswa dan Temuduga”, aktivis Ikatan Pengamal Perubatan Dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) cawangan Johor, Dr. Mohd Ferdaus Tahar menekankan mengenai pengurusan masa yang berkesan.
Menurut beliau, apa yang diingini pada 10 tahun akan datang bermula dengan perancangan yang dilakukan pada hari ini. Justeru, peserta diseru menggunakan ‘Masa Keemasan’ dengan baik iaitu tempoh diantara peperiksaan percubaan SPM sehingga waktu dipanggil temuduga.
“Sentiasa baca bahan media untuk mengetahui semua peluang yang ada untuk mendapatkan penajaan bagi meneruskan pengajian,” ujar beliau.
Para peserta juga diajar selok belok sebelum dan ketika menghadapi temuduga. Antara tips yang dikongsikan termasuklah berlatih bercakap kepada diri sendiri di hadapan cermin bagi mengurangkan perasaan gugup semasa ditemuduga.
KLS pada kali ini menyediakan sebanyak 12 tapak pameran kerjaya yang terdiri daripada pelbagai sektor pekerjaan bagi memberi pendedahan secara terus mengenai kerjaya yang boleh diceburi para peserta.
Program ‘mentor-mentee’ yang julung kalinya diadakan pada tahun ini merupakan antara penambahbaikan yang dijalankan oleh KRIM. Mentor-mentor yang terdiri daripada pelajar-pelajar pasca-siswazah dan ijazah sarjana muda turut terlibat dalam membimbing para mentee yang terdiri daripada para peserta program untuk tempoh lima bulan atau sehingga mereka diterima masuk ke pusat pengajian masing-masing.
Program yang dijalankan selama sehari itu telah banyak memberi pendedahan dan pencerahan kepada para peserta untuk menyambung pengajian pada peringkat yang seterusnya. Program anjuran KRIM cawangan Johor dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Johor itu telah dihadiri oleh seramai 150 orang peserta.
Wartawan ISMA Johor
Maryam Farhana Kamel Ariffin
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan