Kpop – Budaya hedonisme bukan jati diri Melayu Islam
BANGI, 11 Jan – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) kesal dengan budaya hedonisme yang menular di kalangan muda-mudi seperti yang berlaku semasa konsert artis Korea di ibu negara semalam.
Yang Di-Pertua ISMA Daerah Hulu Langat Mohd Noor Azib Asmangi meluahkan kekesalan dengan apa yang berlaku, seolah-olah sudah tiada jati diri di kalangan umat Islam di negara ini.
“Kita menasihatkan agar adik-adik di luar sana agar menghindari budaya hedonisme ini, fahamilah Islam dan hayati dalam kehidupan,” nasihat beliau.
“Kecenderungan kepada budaya ini bermula dengan siapa kita berkawan. Sehingga Islam menyebutkan, jika ingin kenal peribadi individu, kenali dengan siapa dia berkawan,” tambah beliau lagi.
“Menghadiri konsert sedemikian adalah dilarang oleh Islam kerana ia melalaikan dan menggalakkan berlakunya percampuran lelaki dan perempuan secara bebas,” jelasnya lagi.
“Kita mengharapkan agar adik-adik tersebut segera insaf dan bertaubat. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun,” katanya kepada ISMAweb.
ISMA berharap pihak kerajaan sensitif terhadap apa yang berlaku dan tidak membiarkan konsert-konsert yang mempromosi budaya hedonisme ini berlaku secara berleluasa.
Semasa konsert itu berlangsung beberapa anak muda wanita Muslim bertudung naik ke pentas lalu memeluk dan menerima kucupan artis tersebut di khayalak ramai.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan