Muslimah dan hiburan
Di sebalik kehangatan isu muslimah dan K-pop yang makin menjadi perbualan kebelakangan ini, ada banyak sudut pandang yang diambil dalam mentafsir peristiwa yang berlaku. Peristiwa ini bagaikan tamparan hebat buat masyarakat yang masih mempunyai sensitiviti tentang masalah gejala sosial dalam kalangan remaja. Pada sebahagian masyarakat, mereka menggangap apa yang berlaku hanyalah perkara kecil, kononnya tidak setanding dengan apa yang ditayangkan oleh media arus perdana. Yang paling menyedihkan adalah apabila munculnya suara-suara yang dengan lantang mengatakan isu yang menyentuh maruah seorang muslimah adalah tidal seberapa jika dibandingkan dengan isu sara hidup dan sebagainya. Seolah-olah sudut pandang Islam sudah tiada dalam mentafsir sesuatu isu.
Saya yakin isu ini dirasakan sangat dekat dengan muslimah diluar sana lebih-lebih lagi generasi yang membesar dengan fenomena K-pop ini. Justeru, saya mengambil inisiatif untuk mengetengahkan sisi pandang seorang yang sebahagian daripada generasi tersebut.
Kita akan merasakan bahawa sedikit sekali kaitannya isu ini dengan kita apabila merasakan bahawa ini adalah isu yang hanya bersekitar akhlak muslimah tersebut. Tetapi hakikatnya kita sudah menjadi mangsa serangan pemikiran tanpa kita sedar. Lihat sahaja media arus perdana yang menyiarkan drama tv, filem yang mempunyai jalan cerita yang menggalakkan masyarakat kita untuk berkhayal.
Hidup dengan fantasi, berimaginasi tentang kehidupan yang indah yang jauh daripada realiti. Bukan itu sahaja, novel apatah lagi. 500 muka surat yang menceritakan kehidupan perkahwinan berdasarkan peristiwa tangkap basah dianggap satu perkara yang manis dan indah. Serangan ini berlaku tanpa kita sedari sehinggalah perkara yang jelas salahnya dilihat betul kerana hasil normalisasi serangan-serangan tersebut. Hakikatnya, media semasa akan memenuhi kehendak masyarakat pada waktu itu, dan kehendak masyarakat sekarang adalah berkhayal. Agak kasar tapi itulah hakikatnya. Justeru, kita seharusnya tidak terlalu naif dengan perang ideologi alaf baru. Kepelbagaian ideologi yang jauh bercanggah dengan nilai-nilai murni yang diangkat oleh Islam bawaan Baginda ar-Rasul SAW telahpun membawa manusia lebih jauh dari hakikat keimanan yang sebenar. Topeng hak kemanusian yang dicanang lantang seolah berjaya mengkaburi kejijikan agenda yang bersembunyi di sebalik arus songsang ini.
Isu berganti isu, akan tiba masanya isu-isu yang sedang ‘hangat’ dibincangkan akan lenyap dan dilupakan sedikit masa lagi. Pada suatu masa dahulu ada isu yang lebih kurang dengan isu wanita muslimah dan K-pop ini yang mana pada waktu itu isunya berkitar salam tangan, cuma kali ini isunya makin membesar dan menyakitkan. Sedikit masa lagi isu ini tidak akan hangat lagi dibicarakan.
Media arus perdana akan hanya menghangatkan, mengsensasikan semaksimum yang mereka mampu kemudian bila sudah reda isu ini akan ditinggalkan begitu sahaja.
Disinilah perlu wujudnya arus pendesak yang kuat dalam memastikan kitaran dan naratif berita yang mewarnai media perdana sesuai dengan norma masyarakat setempat. Arus ini perlu berterusan mendesak sehinggalah normalisasi maksiat dapat dihindarkan dan menegakkan nilai-nilai islam tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang ekstrim.
Menyedari hakikat kelicikan agenda songsang yang datang pelbagai wajah ini menuntut seseorang yang masih murni imannya untuk senantiasa dalam keadaan siap siaga dan satu hati untuk menapis segala agenda yang cuba mencairkan identiti umat Islam. Tidak ketinggalan juga perlunya pemantauan berterusan samada dari kesedaran individu mahupun solidariti gabungan masyarakat sivil, kepada tindakan pihak berwajib dalam usaha menghalang penganjuran konsert dan hiburan yang melalaikan anak muda dewasa ini.
Secara tuntasnya, merasa sedih atau merasakan masih banyak tanggungjawab kita untuk membetulkan masyarakat adalah suatu yang terpuji. Namun sebagai generasi yang terdedah kepada ideologi yang pelbagai, kita perlu bijak mengenal pasti musuh yang sedang kita hadapi, sama ada yang dengan jelas menentang islam mahupun yang terselindung di sebalik pelbagai bentuk, wadah, dan wajah.
Hakikat yang lebih penting adalah menanamkan kesedaran tentang realiti situasi dan ancaman berterusan yang kita depani hari ini. Berbekalkan keimanan, ilmu, dan keteguhan semangat, disinilah kita harus bijak mengatur langkah yang rapi bagi menghadapi musuh-musuh berkenaan. Disinilah kita perlu membina umat beragenda!
afifah
Afifah Mohd Sukor
Ketua Wanita ISMA UK-Eire
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan