Pasca banjir – Mudir Maahad Tahfiz Muhammadi berterima kasih kepada ISMA Kuantan
KUANTAN, 5 Jan – “Kita memilih Maahad Tahfiz Muhammadi ini kerana di tempat inilah anak-anak yatim dan fakir miskin belajar dan menghafal Al-Quran ditambah lagi pusat tahfiz ini dikendalikan oleh pengasas yang telah uzur,” ujar Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Kuantan Ustaz Rushdan Abdul Halim ketika ditemui wartawan ISMA di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, pihak pengurusan maahad tersebut pada ketika ini amat memerlukan bantuan pihak luar untuk membantu membersihkan pusat tahfiz berkenaan kerana para pelajar masih belum kembali dari rumah masing-masing kerana menyambung cuti persekolahan disebabkan bencana banjir yang berlaku.
“Aktiviti pembersihan kali ini difokuskan di bahagian unit kediaman mudir dan keluarga mudir yang teruk terlibat di dalam banjir baru-baru ini yang menenggelamkan hampir keseluruhan tingkat bawah pusat tahfiz berkenaan.
“Hampir semua barang musnah dan banyak meninggalkan kesan lumpur di dalam rumah,” terang beliau ketika menyertai aktiviti pembersihan tersebut bersama para sukarelawan Briged Bakti PEMBINA dan ISMA.
Mudir yang juga merupakan pengasas Maahad Tahfiz Muhammadi, Ustaz Tengku Muhammad Tengku Jaafar melahirkan rasa gembira beliau dan bersyukur serta berterima kasih kepada pihak ISMA Kuantan dan skuad sukarelawan yang terlibat dalam membantu membersihkan pusat tahfiz beliau.
Aktiviti pembersihan yang melibatkan para sukarelawan dari pelbagai agensi di dalam ISMA seperti PEMBINA dan I-Medik itu dengan kerjasama Yayasan Ikhlas merupakan antara aktiviti yang dirancang selain menyampaikan barang sumbangan banjir, pemeriksaan kesihatan percuma dan sesi motivasi untuk membantu orang ramai yang terjejas akibat banjir yang berlaku baru-baru ini.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan