Persatuan Ulama Sedunia : Ekstrimis tidak melambangkan sebarang agama
PARIS, 8 Januari- “Serangan ini hakikatnya tidak memberi sebarang kebaikan samada terhadap umat Islam bahkan ianya akan membawa fitnah yang sangat besar diantara agama-agama yang wujud”
Setiausaha Agung Persatuan Ulama Sedunia, Syiekh Dr Ali Qarah Daghi berkata demikian dalam kecamannya terhadap serangan yang terjadi di sebuah pejabat akhbar di Paris semalam.
“Orang yang berfahaman ekstrimis tidak layak serta tidak melambangkan sebarang agama”
“Tidak kira siapa disebalik serangan ini, mereka yang terlibat ini telah melakukan kesalahan yang sangat besar serta sepatutnya dihukum”
Dalam kejadian semalam di Paris, dua belas orang termasuk dua anggota polis terbunuh apabila dua lelaki bersenjata raifal Kalashnikov dan pelancar roket melepaskan tembakan di pejabat akhbar mingguan satira, Charlie Hebdo.
Serangan tersebut dikatakan dilakukan oleh tiga orang Islam yang bermotifkan membalas dendam atas tindakan akhbar tersebut yang selama ini mengeluarkan kartun dan juga artikel yang memperlekeh serta mengutuk Islam.
Tambah Dr Ali Qarah Daghi lagi, walau apapun tindakan orang kafir lakukan terhadap kita seperti mengutuk Islam melalui akhbar-akhbar mereka, itu tidak sepatutnya boleh dijadikan alasan untuk kita membalas tindakan mereka ini jenayah pembunuhan.
“Kita tetap menentang kefahaman mereka namun dengan cara hujah serta perbincangan, bukan dengan senjata dan pembunuhan”
Beliau turut berkata Allah SWT juga telah mengajar Nabi Muhammad dalam surah Al-Hijr ayat 94 dan 95 bahawa cara untuk menghadapi kumpulan kafir musyrikin adalah dengan kita sampaikan kebenaran lalu kita abaikan apa yang mereka perlekehkan serta hendaklah merasakan cukuplah Allah yang akan balas kejahatan mereka.
“Peristiwa ini mengajar supaya semua pihak hendaklah bekerjasama dalam menolak sebarang kefahaman yang berbentuk ekstrimis tidak kira siapa dia, kefahaman apa yang dia pegang serta agama apa yang dia anuti” tegasnya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan