Tuduhan ISMA ekstrem adalah juga jenayah menghasut
BANGI, 13 Jan – Kes penangkapan Eric Paulsen yang menuduh JAKIM mempromosikan fahaman ekstremis perlu dijadikan pengajaran puak ultra liberal, kata Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman.
“Menjadi pengajaran kepada puak ultra liberal yang menuduh golongan Islam sebagai ekstremis.
“Ini kerana apa yang mereka lakukan adalah jenayah menghasut yang boleh memecahbelahkan masyarakat dan menggugat keharmonian,” ujarnya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Jelas Ustaz Abdullah, perkara yang sama berlaku ke atas ISMA. Dalam tempoh dua minggu lalu, media liberal dengan kencang memfitnah ISMA dengan label ekstremis, fanatik agama dan sebagainya tanpa asas.
“Mereka harus sedar bahawa perbuatan mereka itu bersalahan dengan undang-undang dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan.
“Islam bukan agama ekstrem seperti yang cuba digambarkan oleh Eric Paulsen.
“Menyifatkan perjuangan mempertahankan Islam, kedudukan Melayu dan bumiputera serta kesatuan Malaysia daripada ancaman agenda asing sebagai ekstrem adalah satu fitnah kebencian yang berbahaya,” tegasnya kepada wartawan.
Kata Ustaz Abdullah, sikap keterlaluan puak ultra liberal boleh menyebabkan mereka bertindak agresif dan melampau.
Puak ultra liberal dengan kerjasama media atas talian yang juga memiliki agenda yang sama akan menghasut masyarakat untuk membenci antara satu sama lain sehingga boleh menyebabkan pihak tertentu bertindak di luar batasan undang-undang.
“Bermakna, mereka telah menyalahgunakan kebebasan bersuara untuk melakukan tindakan provokatif, fitnah dan menghasut,” ujarnya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan