Sekali lagi bekas pimpinan ISMA Mesir cemerlang akademik
KAHERAH, 7 Februari - Sekali lagi bekas pimpinan ISMA-Mesir mencatatkan sejarah kecemerlangan akademik. Baru-baru ini Ustazah Khairah binti Abdul Halim telah meraih keputusan cemerlang dengan pangkat Jayyid Jiddan pada peringkat Sarjana (Master) Universiti Terbuka Amerika. Beliau yang merupakan bekas Ketua Wanita ISMA-Mesir sesi 2013/2014 telah berjaya membuktikan bahawa kesibukan berpersatuan tidak sekali-kali menghalangnya untuk cemerlang dalam bidang akademik.
Kejayaan ini sekaligus telah mengiringi kejayaan pasangannya, Ustaz Qamarul Naim yang juga baru sahaja memperoleh Mumtaz Syaraf Ula dalam peringkat Sarjana beliau. ISMA-Mesir mengucapkan jutaan tahniah atas kejayaan yang diperolehi oleh mempelai pasangan ini.
“أحكام المرأة المسلمة في اللباس والتبرج،دراسة فقهية مقارنة بين الشيخ ناصر الدين الألباني والأستاذ الدكتور عبد الكريم زيدان “
‘ Hukum Wanita Muslimah dalam Pakaian dan Tabaruj ‘ merupakan tajuk yang telah dipilih dalam munaqasyahnya baru-baru ini yang telah diadakan di Dewan Markaz Solah Kamil, Universiti Al-Azhar. Turut hadir oleh 3 orang profesor yang menilai iaitu Prof. Mohamed Nabil Ghanaem, Prof. Ibrahim Mohamed Abdul Rahim dan Prof. Emeritus Mohamed ElSayyed ElDusuuqi.
” Menunaikan hak Allah dan hak semua perkara, maka Allah akan membantu kita, ” ujar beliau tatkala ditanya mengenai kunci kejayaannya. Beliau turut menyatakan bahawa menjadi syumul dan seimbang adalah cabaran besar baginya. Oleh itu, beliau sentiasa berusaha menjaga kestabilan emosi, diri dan keluarga. Tambahnya pula, keredhaaan suami, ibu bapa dan orang-orang sekeliling sangat penting baginya dalam memperoleh kejayaan.
Ustazah Khairah menyatakan bahawa para penuntut ilmu khususnya umat Islam seharusnya memahami akan ilmu yang dipelajari dan perolehi adalah untuk membentuk umat yang berilmu dan beriman bukannya mereka yang memisahkan ilmu dan akhirat. Maka, apabila memasuki alam pekerjaan mereka akan bekerja dengan lebih tekun untuk menyumbang kepada ummah dalam kerangka yang diredhai Allah swt.
” Mahasiswa-mahasiswi perlu tekun dan istiqamah dalam membentuk diri menjadi muslim dan muslimah yang sejati. Selain itu, penuntut ilmu juga perlu amanah dan bertanggungjawab serta menjadi seorang yang sentiasa memberi manfaat dan makna buat orang sekeliling dan umat secara keseluruhan “. Begitulah pesanan beliau tatkala ditemuramah.
ISMA Mesir mendoakan agar kejayaan cemerlang ini dapat memberi impak dan manfaat yang besar kepada amal dakwah di Malaysia khususnya dan di seluruh dunia umumya.
ISMA Mesir menyeru kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi di perlembahan Nil ini sama ada dalam bidang Pengajian Islam atau Sains Kesihatan agar sentiasa meningkatkan kualiti diri dan berusaha bsrsungguh-sungguh mencapai kejayaan serta menjadikan beliau sebagai role model bagi meraih kejayaan hingga ke peringkat tertinggi.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan