Selepas dikutuk Erdogan, Obama kecam pembunuhan tiga pelajar muslim


WASHINGTON, 14 Feb – Sehari selepas dibidas Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama hari ini mengecam pembunuhan tiga pelajar muslim di Carolina Utara sambil menganggap ianya ‘pembunuhan yang keterlaluan’.

USA Today melaporkan Obama menegaskan tidak ada sesiapa pun di Amerika yang harus menjadi sasaran pembunuhan walau apa pegangan, pendapat atau agama mereka.

“Seperti mana yang dapat dilihat jumlah kehadiran ketika pengebumian ketiga-tiga pelajar itu, kita semua adalah satu keluarga yang besar,” katanya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Semalam, Erdogan mengecam dan mengkritik Obama apabila masih membisu berhubung kes pembunuhan tragis yang melibat tiga pelajar Muslim di North Carolina, AS tiga hari lalu.

Menurut Erdogan, Presiden Obama, (Menteri Luar Negeri) John Kerry dan Wakil Presiden Joe Biden sehingga saat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Tiga sekeluarga menemui ajal apabila dibunuh oleh jiran mereka Craig Stephen Hicks, 46, di kampus Universiti Carolina Utara di bandar Chapel Hill.

Dalam kejadian berkenaan, Hicks melepaskan tembakan menyebabkan kematian Deah Shaddy Barakat, 23, isterinya, Yusor Mohammad, 21, dan adik Yusor, Razan Mohammad, 19.

Pihak polis yang menyiasat kes pembunuhan tidak menolak kemungkinan faktor kebencian Hicks terhadap umat Islam menjadi punca pembunuhan tersebut.

Jiran penyerang itu mendakwa Hicks pernah memaparkan pesanan antiagama bersama gambar pistolnya dalam laman facebook dan dia memang dikenali sebagai seorang yang panas baran.

Bapa dua pelajar perempuan yang dibunuh itu, Mohammad Abu-Salha, mengatakan bahawa dia berasa tidak selesa selepas berpindah ke rumah suaminya di kondominium itu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?