Askar Israel arah penduduk Palestin henti bina masjid


RAMALLAH, 23 Mac – Penduduk Kardalah di utara Lembah Jordan terpaksa berjalan kaki lebih tiga kilometer setiap hari ke kampung berhampiran untuk menunaikan solat selepas pihak berkuasa Israel enggan membenarkan mereka membina masjid sendiri.

Pihak berkuasa Israel dikatakan menyerbu perkampungan yang didiami kira-kira 500 penduduk itu, semalam serta mengarahkan kerja pembinaan masjid dihentikan.

Kardalah adalah antara perkampungan termiskin di Lembah Jordan. Kebanyakan penduduknya bergantung kepada pertanian untuk meneruskan hidup.

Mengikut Perjanjian Oslo antara Israel dan Pihak Berkuasa Palestin (PA), Tebing Barat dipisahkan kepada tiga kawasan iaitu kawasan A dikawal dan ditadbir oleh PA, manakala kawasan B ditadbir oleh PA dan kawasan C yang meliputi 65 peratus Tebing Barat termasuk perkampungan Kardalah dikawal dan ditadbir sepenuhnya oleh Israel.

Ketua Majlis Tempatan Kardalah, Ghassam Fuqaha, berkata penduduk membuat keputusan membina masjid sendiri dengan harapan ianya dibenarkan oleh pihak berkuasa Israel.

Katanya, pihak berkuasa Israel yang mengetahui bahawa perkampungan itu tidak memiliki masjid dan masjid yang paling dekat ialah di Ain Al Baydah mengarahkan mereka merujuk kepada mahkamah di Beit El.

Beliau berkata, pihak berkuasa Israel awalnya memberi jaminan akan membenarkan pembinaan masjid itu serta bersetuju membekalkan air dan elektrik.

“Tetapi sejak awal 1990-an, khususnya sebaik saja Perjanjian Oslo ditandatangani, tidak ada permit pembinaan bangunan dikeluarkan oleh pihak Israel hingga sekarang.

“Kebanyakan penduduk Kardalah, terutama generasi muda meninggalkan perkampungan itu selepas hilang harapan untuk mendapatkan permit membina bangunan,” katanya yang mewakafkan tanahnya untuk pembinaan masjid itu.

Beliau juga berkata, penduduk sudah memohon kebenaran kepada pihak lebih tinggi untuk membina masjid itu tetapi beliau berpendapat peluangnya adalah tipis. – Gulfnews

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?