‘Awasi isu keselamatan ketika berdakwah’
Oleh Team Wartawan Media Isma Sdn Bhd
Gambar-gambar oleh Unit Foto Media Isma Sdn Bhd
KELANA JAYA, 21 Mac – Setiap ahli digesa supaya berjaga-jaga dengan isu keselamatan ketika melaksanakan kerja-kerja dakwah kerana akan ada golongan yang cuba untuk memberikan gambaran buruk terhadap usaha dakwah kita.
Ustaz Ahmad Zainal Abidin, berkata setiap ahli perlu mengambil pengalaman serta sejarah yang berlaku di negara-negara seperti di Mesir, Jordan dan Indonesia untuk dijadikan panduan.
“Pelajaran daripada sejarah ini adalah contoh yang terbaik untuk dijadikan sebagai pengajaran, kerana keadaan kita sekarang ini tidak jauh berbeza daripada apa yang berlaku di negara-negara tersebut.
“Selain itu, sejarah para nabi yang diceritakan di dalam al-Quran juga telah banyak memaparkan kisah-kisah mengenai kewujudan golongan yang sentiasa akan menghancurkan agenda Islam sejak dahulu lagi,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Mesyuarat Agung ISMA ke-14 di sini, hari ini.
Kerana itulah, katanya, ahli ISMA kena sedar akan pertentangan dengan musuh-musuh Islam yang akan berlaku ketika melaksanakan kerja-kerja dakwah.
“Saya sebut hal ini kerana ahli ISMA merupakan ahli yang mempunyai komitmen yang tinggi dalam melaksanakan kerja dakwah.
“Laksanakanlah tugasan dakwah tersebut dalam keadaan kita berhati-hati dengan serangan musuh.
Mengakhiri perbahasan, beliau berharap agar tema AGM pada kali ini iaitu “Mengarus Perdana Agenda Dakwah” akan memberi satu semangat yang baru serta momentum yang kuat untuk beramal selepas ini.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan