Bencana menimpa jika tentang hukum Allah
Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria
IPOH, 28 Mac – Hukum hudud adalah hukum Allah dan barang siapa yang menentang hukum Allah, dia akan menerima bencana daripada Allah Taala, kata Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria, hari ini.
“Saya tidak tahu apa mereka pertikaikan, apakah caranya atau ia tidak sempurna?.. itu saya tidak tahu, tetapi kalau disebut hukum hudud, barang sesiapa yang menentang hukum Allah itu, dia akan menerima bencana daripada Allah SWT.
“Saya yakin bahawa apa yang dibentangkan adalah mengenai hukum hudud, tetapi cara pelaksanaannya itu saya tidak tengok…mungkin yang dikritik itu adalah caranya…hukum hudud itu mesti dilaksanakan, ia adalah wajib,” katanya selepas melancarkan projek pembinaan Kompleks Tarbiah Baitul Ridzuan di Kampung Manjoi, hari ini.
Mengulas tindakan beberapa pihak yang mempertikai pelaksanaan hukum hudud di negara ini, beliau bagaimanapun berkata, umat Islam boleh memberi kritikan untuk memperbaiki pelaksanaan hukum itu.
19 Mac lalu, Dewan Undangan Negeri Kelantan sebulat suara meluluskan undang-undang hudud menyebabkan pelbagai pihak, termasuk parti politik pakatan rakyat mempertikaikannya. Bukan setakat pemimpin Islam saja mempertikaikannya hingga mengelirukan umat Islam, malah orang kafir juga turut berbuat demikian.
Portal-portal berita berfahaman liberal turut mengambil kesempatan menyiarkan berita-berita bohong mengenai hudud, termasuk mengaitkan Majlis Raja-Raja dengan undang-undang itu.
Harussani berkata, umat Islam seharusnya bersatu dan menerima hukum tersebut dan bukan berpecah-belah.
“Mungkin mereka telah memikir panjang perkara tersebut tetapi masih tidak dipersetujui puak lain, jadi mereka cuba pertahankan.
“Konsep Islam, umumnya, tidak boleh mempertikai hukum hudud, sekiranya dia mempertikaikan hukum hudud bermakna dia mempertikai hukum Allah,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan