ISMA sedia tawar pakej tarbiah kepada Aisyah Tajuddin
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 23 Mac – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berbesar hati menawarkan pakej tarbiah kepada penyampai/pengacara radio BFM, Aisyah Tajuddin bagi memberi peluang kepadanya untuk mendapatkan kefahaman Islam yang sahih dan syumul.
Ketua Penerangan ISMA, Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman, berkata laluan masih terbuka untuk Aisyah kembali ke pangkal jalan dan tidak mengulangi kesilapan yang telah dilakukannya.
“ISMA amat bersimpati ke atas nasib Aisyah dan golongan seumpamanya yang gagal mendapat pendidikan Islam yang sempurna sehingga membawa kepada salah faham dan tindakan yang bersalahan dengan ajaran agama.
“Bahkan kebencian terhadap sesuatu parti politik atau kecenderungan terhadap sesuatu fahaman politik juga tidak seharusnya membawa seseorang muslim kepada tindakan luar batasan seperti menghina hukum Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.
Beliau mengulas mengenai klip video 1:55 minit yang dimuat naik dalam laman Facebook (FB) pada 19 Mac lalu yang mana Aisyah terbabit sebagai pengacara dan didakwa mempermainkan undang-undang hudud yang diluluskan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada hari yang sama.
Klip video itu mendapat reaksi hebat daripada pengguna laman FB kerana mempertikaikan hukum Allah. Aisyah kemudian dilaporkan menerima ancaman bunuh dan rogol.
Berikutan itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, pula meminta Aisyah bertaubat, manakala Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pula memberitahu bahawa polis akan memanggil Aisyah dan semua yang terbabit dalam pembikinan klip video itu untuk siasatan.
Semalam, dalam satu laporan yang disiarkan oleh sebuah portal berita, bapa Aisyah, Mohd Tajuddin Mohd Rasdi, 53, dalam kenyataannya turut mengaitkan Perkasa dan ISMA berhubung isu anaknya itu. Antara lain Mohd Tajuddin berkata:
“If it’s a murder threat or burning from people like Perkasa or Isma, I think we should be careful but if it came from young teenagers, I don’t think there is much to it and if they caught these people, I will not press charges, it’s enough that they will just apologise to my daughter and let them go.“
Menyangkal tuduhan tersebut Ustaz Hazizi berkata, ahli-ahli ISMA adalah individu yang terlampau baik untuk media liberal mengaitkannya dengan ugutan bunuh.
“Ahli-ahli ISMA bertebaran dalam institusi kemasyarakatan, dikenali dan dipercayai secara peribadi oleh masyarakat setempat.
“Oleh itu usaha media liberal hanyalah ibarat mengisahkan cerita dongeng di hadapan ratusan cendekiawan,” tegasnya.
Beliau berkata, dalam kes ini Aisyah amat bernasib baik kerana menjadi rakyat di tanah orang Melayu yang terkenal dengan sikap sopan santun.
“Jika dia (Aisyah) berada di negara-negara tertentu yang rakyatnya terkenal dengan sikap radikal, kemungkinan besar dia dibunuh tanpa ugutan yang memberi amaran,” katanya lagi.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan