Liga Arab setuju bentuk pakatan tentera tetap
SHARM EL-SHEIKH (MESIR), 30 Mac – Pemimpin Liga Arab yang mengakhiri sidang mereka di sini mengumumkan pembentukan pakatan tentera tetap bagi menghadapi peningkatan ancaman keselamatan dari Yaman hingga Libya.
Menteri Luar Mesir, Sameh Shukri, berkata pembentukan pakatan tentera itu yang melibatkan mekanisme dan logistik adalah idea Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sissi dan bakal mengambil masa sebulan untuk menjadi kenyataan.
“Tiada paksaan kepada mana-mana negara Arab untuk menyertai pakatan itu. Setakat ini, dua negara sudah menyatakan komitmen mereka dalam pembentukan itu,” katanya sambil menambah pakatan tentera itu akan diketuai oleh pegawai tinggi tentera sebuah negara Arab.
Sementara konflik semakin memuncak di Yaman dan Libya, perang saudara di Syria sudah memasuki tahun ke lima. Keadaan tidak menentu yang berlaku sejak ‘Arab Spring’ bermula pada 2011 semakin nyata dan kompleks.
Persetujuan akhir sidang kemuncak Liga Arab itu membolehkan pakatan tentera berkenaan menyelaras dan mengambil apa-apa tindakan bagi menangani isu keselamatan sesebuah negara, sebagaimana yang dilakukan di Yaman sekarang.
Pembentukan pakatan tentera tetap itu juga dibuat selepas Arab Saudi bersama 10 lagi negara sepakat menyerang militan Syiah Houthi di Yaman.
Pemimpin-pemimpin Liga Arab juga bersetuju serangan tentera pakatan diketuai Arab Saudi ke atas Yaman akan diteruskan sehingga militan Syiah Houthi yang disokong oleh Iran meletak senjata.
Sesetengah pihak bagaimanapun melihat campur tangan negara Arab di Yaman akan mencetuskan konflik antara mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah Iran.
Sementara itu, Arab Saudi berkata, serangan ke atas puak militan Syiah Houthi akan diteruskan sehingga Presiden Yaman, Abd-Rabbu Mansour Hadi, berkuasa semula.
“Kami akan terus memberi tekanan ke atas militan Houthi sehingga mereka meletak senjata dan membenarkan tentera kerajaan yang sah mengambil alih kuasa,” kata jurucakap pakatan tentera Arab, Brigadier Jeneral Ahmed Asseri.
Beliau berkata, serangan udara berterusan tentera pakatan juga sudah melumpuhkan pergerakan militan daripada memasuki Aden serta beberapa penempatan mereka.
“Dari sehari ke sehari mereka semakin lemah dan kami akan terus memberi tekanan kepada mereka,” katanya. Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan