Parlimen tidak gubal Akta Hasutan: Peguam


PUTRAJAYA, 24 Mac – Akta Hasutan 1948 adalah undang-undang yang tidak sah kerana ia tidak digubal oleh Parlimen, kata Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar kepada Mahkamah Persekutuan, semalam.

Beliau berhujah bahawa Akta Hasutan, undang-undang pra merdeka, asalnya dikenali sebagai Ordinan Hasutan 1948 digubal oleh Majlis Perundangan.

Katanya, Akta Hasutan tidak boleh diubah suai untuk diselaraskan dengan Perlembagaan Persekutuan dan dengan itu akta itu telah terbatal sebaik sahaja Perlembagaan Persekutuan diwujudkan.

Beliau berkata, hanya Parliamen diberi kuasa untuk menggubal undang-undang yang mengehadkan kebebasan bersuara kerana ia diberi hak eksklusif oleh Perlembagaan Persekutuan untuk berbuat demikian.

“Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai autoriti undang-undang untuk mengubah suai Ordinan Hasutan. Autoriti Seri Paduka untuk mengubah suai undang-undang mengikut Perkara 162 (4) Perlembagaan Persekutuan perlu difahami iaitu tidak meliputi undang-undang sedia ada yang mengehadkan kebebasan bersuara,” katanya.

Malik mewakili Profesor Madya Undang-Undang Universiti Malaya, Dr Azmi Sharom yang mencabar keperlembagaan Akta Hasutan.

Panel lima anggota Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong dan Tan Sri Suriyadi Halim Omar mendengar perkara itu yang dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan oleh Mahkamah Tinggi bagi penentuan dua soalan berkaitan Perlembagaan.

Azmi, 46, berdepan pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 4(1)(b) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan, masing-masing berhubung komennya dalam berita bertajuk ‘Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told’, pada 15 Ogos tahun lalu.

Kedua-dua kesalahan membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Peguam Cara I, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah berhujah bahawa Akta Hasutan adalah undang-undang yang sah dan berkuat kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, walaupun Akta Hasutan tidak digubal sebagai undang-undang oleh Parlimen, namun ia perlu ditafsirkan sebagai telah digubal oleh Parlimen.

Beliau berkata, dari Hari Merdeka sehingga pada 27 Jun 1959, Parlimen masih belum wujud dan dengan itu semua undang-undang yang digubal, malah pada Hari Merdeka pada 1957 sehingga 11 September 1959 apabila Parlimen pertama kali bersidang, adalah tidak digubal oleh Parlimen.

Tun Abdul Majid berkata, Ordinan Hasutan merupakan undang-undang sedia ada dan terus dikuatkuasakan pada dan selepas Hari Merdeka, dengan pengubahsuaian yang difikirkan perlu oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Ordinan Hasutan telah diubah suai beberapa kali untuk menjadikan ketetapannya selaras dengan ketetapan Perlembagaan Persekutuan. Akta Hasutan 1948 diterima sebagai satu-satunya undang-undang yang betul berkaitan perkara yang menjadi kesalahan bagi hasutan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tidak digubal secara langsung oleh Parlimen, Akta Hasutan telah menerima kelulusan perlembagaan oleh Parlimen.

Selepas selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, Arifin berkata mahkamah menangguhkan keputusan ke satu tarikh yang akan ditetapkan. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian