Wahai Latheefa Koya! Al-Quran tidak terangkan cara bersolat tetapi…

... Hadis, Ijmak dan Qiyas juga adalah sumber rujukan umat Islam selepas al-Quran

HUKUMAN hudud seperti direjam hingga mati terhadap pesalah zina atau dihukum bunuh bagi yang murtad tiada dalam al-Quran. Itulah yang dipersoalkan selepas Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan sebulat suara undang-undang hudud.

Bukan saja orang kafir yang pandai mengatakan hukuman itu tiada dalam al-Quran, malah ada orang Islam sendiri yang mengeluarkan kenyataan bahawa hukuman rejam bagi pesalah zina tiada dalam al-Quran dan hukuman bunuh bagi orang yang murtad juga tiada dalam al-Quran.

Kenyataan Latheefa Koya seorang peguam, aktivis sosial dan pemimpin PKR dalam The Malay Mail Online mengatakan hukuman rejam tiada dalam al-Quran. Benar!

Saya mengenali Latheefa Koya hanya melalui media, tidak pernah bertemunya lalu saya beranggapan (berdasarkan namanya) beliau mungkin beragama Islam atau jika tidak pun apa yang hendak saya katakan ini boleh menjadi panduan kepadanya untuk berfikir bahawa sumber bagi umat Islam bukan setakat al-Quran. Kecualilah kalau dia…

Saya juga tidak tahu di mana Latheefa Koya tinggal, siapa ibu bapanya, di mana beliau bersekolah, siapa guru-gurunya atau di mana pejabatnya, tetapi saya berpendapat jika Latheefa Koya seorang Islam wajib baginya mengerjakan solat lima waktu sehari semalam. Orang Syiah, orang Cina, orang India pun bersembahyang, apa lagi jika Latheefa Koya seorang Islam wajiblah baginya mengerjakan solat.

Jika Latheefa Koya tidak dapat bersolat lima waktu sehari semalam pun, tentu beliau akan bersolat satu atau dua waktu, mungkin solat Maghrib dan Isyak, sebab solat Zuhur, Asar dan Subuh itu berat untuk dilakukan bagi orang Islam, tetapi mudah bagi orang yang beriman.

Persoalannya di sini ialah bagaimana cara solat yang dilakukan oleh Latheefa Koya?

Adakah beliau akan berdiri tegak lurus? Adakah beliau akan mengangkat takbiratul ihram? Adakah beliau akan membaca doa iftitah, taawudz, membaca al-Fatihah? Adakah beliau akan rukuk, i’tidal, kemudian sujud pertama, kemudian duduk antara dua sujud, kemudian sujud kedua?

Adakah Latheefa Koya akan berdiri pada rakaat kedua, kemudian rukuk rakaat kedua, bangun dari rukuk, kemudian sujud pertama rakaat kedua, kemudian duduk di antara dua sujud rakaat kedua, kemudian sujud kedua pada rakaat kedua, kemudian duduk membaca tahiyat dan kemudian memberi salam? (contoh solat dua rakaat)

Tentulah semua ini mesti dipatuhi oleh Latheefa Koya – Ada pendapat mengatakan terdapat 13 rukun solat dan ada pendapat lain yang meringankannya, namun ketertibannya wajib dijaga iaitu tidak boleh mendahulukan rukun yang sepatutnya dikemudiankan.

Tetapi semua rukun-rukun ini tidak ada di dalam al-Quran. Nah! Bagaimana sekarang untuk Latheefa Koya bersolat jika cara solat itu tidak diterangkan di dalam al-Quran? Daripada mana Latheefa Koya hendak mengetahui cara-cara dan rukun supaya beliau dapat bersolat?

Dalam al-Quran Allah tidak menerangkan cara bersolat, sedangkan di dalamnya banyak ayat perintah daripada Allah Talaa supaya mengerjakan solat. Tetapi, Allah ada menerangkan cara mengambil wuduk sebelum boleh bersolat, bukan cara-cara bersolat.

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah – debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” (Al-Quran surah Al-Maidah ayat 6)

Dalam al-Quran Allah memerintahkan supaya bersolat dan ada ayat yang menyuruh menyembah Allah, tidak pula Allah memberitahu bagaimana untuk bersolat, bagaimana untuk menyembahNya.

Lalu, bagaimana caranya untuk Latheefa Koya bersolat? Adakah dengan cara meniru penyembah-penyembah berhala, sedangkan di dalam al-Quran Allah tidak menerangkan pula cara mereka menyembah berhala-berhala mereka. Allah hanya berfirman yang bermaksud:

“Kamu hanyalah menyembah berhala-berhala yang diperbuat oleh orang….” (Al-Quran surah Al-Ankabut ayat 17). Allah tidak menerangkan cara-cara orang kafir itu menyembah berhala-berhala.

Tetapi, saya yakin jika Latheefa Koya seorang Islam maka beliau akan bersolat. Beliau akan mengetahui cara-cara serta Rukun Solat itu seperti yang diajar oleh Jibril kepada Baginda junjungan kita Muhammad bin Abdullah kerana Allah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan ia (Muhammad) tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.” (Al-Quran surah An-Najm ayat 3)

Di sinilah ianya dikatakan HADIS iaitu perkataan, perbuatan, ketetapan dan persetujuan daripada Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wassalam (SAW) yang dijadikan ketetapan atau hukum dalam Islam. Ia adalah sumber hukum Islam kedua selepas al-Quran diikuti ijmak dan qiyas. Kecualilah kalau dia…

Demikianlah apabila Latheefa Koya mengatakan bahawa di dalam al-Quran tidak disebut apa-apa hukuman untuk kesalahan murtad dan hukuman merejam juga tidak disebut dalam al-Quran sebagai satu hukuman. (The Malay Mail Online 20 Mac)



Untuk memperjelaskan masalah yang dibangkitkan oleh Latheefa Koya ini mudah kerana beliau sendiri menerima pakai hadis untuk mengetahui cara bersolat. Jika tidak merujuk kepada hadis tentu beliau tidak bersolat. Melalui hadis umat Islam mengetahui cara bersolat kena niat, mengangkat takbiratul ihram, iftitah, taawudz, membaca al-Fatihah dan lain-lain.

DAN HADIS RASULULLAH JUGA MEMBERITAHU BAHAWA HUKUMAN BAGI KESALAHAN MURTAD (yang Latheefa Koya kata tiada dalam al-Quran) ADALAH BUNUH.

Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa sahaja yang menukar agamanya (keluar daripada Islam) maka hendaklah dia dibunuh,”. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari; Imam Abu Daud; Imam at-Tirmizi; Imam an-Nasaie, Imam Ahmad dan al-Imam asy-Syaukani.

Majoriti cendekiawan perundangan Islam menetapkan seseorang yang murtad hendaklah dijatuhi hukuman mati.

Dr Wahbah az-Zuhaili berkata: “Dan para fuqaha telah sepakat di atas kewajipan bunuh terhadap murtad…dan para ahli ilmu telah ijmak di atas kewajipan membunuh orang yang murtad.” (al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, juzuk 7, halaman 5580).

DAN, HUKUMAN REJAM (yang Latheefa Koya kata tiada dalam al-Quran) ADA DISEBUT DALAM HADIS RASULULLAH BAGI KESALAHAN ZINA.

Daripada Sulaiman Bin Buraidah daripada bapanya yang telah berkata: “Maiz Bin Malik pernah datang menemui Baginda Nabi SAW, maka dia berkata: “Wahai Utusan Allah, sucikanlah diri saya”. Jawab Baginda SAW: “Kasihannya engkau, pergilah balik dan mohon ampunlah kepada Allah serta bertaubatlah kepadanya”. Lalu pulanglah Maiz dan tidak lama selepas itu dia datang kembali menemui Baginda Nabi SAW dengan mengatakan hal yang sama seperti tadi. Peristiwa ini berulang sehinggalah apabila sampai kali keempat, Baginda Rasulullah SAW pun bertanya kepadanya: “Apakah yang boleh aku tolong untuk mensucikan dirimu?”. Jawab Maiz: “Sucikanlah diriku daripada dosa zina”. Maka Baginda Rasulullah SAW pun bertanya kepada orang lain: “Adakah Maiz ini ada penyakit gila?”. Maka diberitahu kepada Baginda Rasulullah SAW bahawa Maiz bukanlah seorang yang gila. Baginda Rasulullah SAW pun bertanya lagi (kepada para sahabat): “Adakah Maiz ini peminum arak?”. Maka bangunlah seorang lelaki lalu cuba menghidu-hidu bau pada Maiz dan tidaklah didapati ada sebarang bau arak padanya. Lalu Baginda Rasulullah SAW pun bertanya lagi: “Wahai Maiz!, adakah engkau benar-benar telah berzina?”. Maka Maiz pun menjawab: “Ya!”. Maka Baginda Rasulullah SAW pun memerintahkan agar Maiz dibawa untuk dijatuhi hukuman rejam.” (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari, al-Imam Muslim, Imam Abu Daud, Imam at-Tirmidizi, Imam Ahmad, Imam al-Baihaqi, Imam Abu Ya’ala, Imam al-Bazzar dan Imam at-Tobrani)

Saya tidak tahu sama ada Latheefa Koya hanya mengambil hadis Rasulullah dalam bab solat sahaja dan menolak yang lainnya. Tetapi ingatlah firman Allah ini:

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 208)

Oleh itu, kepada semua yang mempersoalkan undang-undang hudud yang diluluskan oleh DUN Kelantan buatlah rujukan terhadap hadis, ijmak dan qiyas selain al-Quran yang juga merupakan sumber bagi orang yang beriman. Kenapa saya menyebut ‘orang yang beriman’? Apa yang saya ketahui setakat ini, di dalam al-Quran tidak ada ayat yang Allah Taala membuat seruan “Wahai orang Islam…”.

P/s: Kecualilah kalau dia… golongan antihadis

Razali bin Zakaria
Pengarang Kanan Media Isma Sdn Bhd

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak kena mengena dengan ISMA

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?