Desak wakil rakyat beragama Islam sokong hudud


Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 31 Mac – Presiden JATI Malaysia, Datuk Aidit Ghazali mengingatkan bahawa masyarakat masih belum terlambat untuk mendesak wakil rakyat mereka yang beragama Islam untuk membuat pendirian menyokong usul Rang Undang-Undang Persendirian bagi melaksanakan hudud di Kelantan.

Beliau berkata, semua Ahli Parlimen beragama Islam wajib menyokong usul hudud yang akan dibentangkan PAS di Dewan Rakyat kelak.

“Ingat, ini soal hukum Allah, jangan campur adukkan antara hukum dan pelaksanaan.

“Pelaksanaan dan strategi perkara kedua. Kalau lulus, boleh bincang semula pelaksanaannya.

“Yang penting sekarang sokong dahulu. Jadi kita minta kepada semua Ahli Parlimen yang beragama Islam sokonglah usul undang-undang hudud ini,” tegasnya ketika dihubungi wartawan Ismaweb.

Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata parti itu membuat keputusan muktamat untuk tetap membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian di Dewan Rakyat bagi melaksanakan hudud di Kelantan.

Katanya, usul itu bukan hanya meliputi Mahkamah Syariah di Kelantan, malah di negeri lain dan amat penting jika majoriti Ahli Parlimen beragama Islam menyokong usul ini.

Berikutan itu Haji Hadi menegaskan bahawa PAS tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan, termasuk daripada sekutunya dalam pakatan rakyat (PR).

Datuk Aidit berkata, sepatutnya sudah lama PAS membuat pendirian sebegitu.

“Selama ini semua maklum yang PAS dihina dan diherdik oleh puak DAP dan PKR.

“Tetapi kali ini apabila melibatkan soal hukum Allah, PAS sudah sedar dan tekad mengenai pendirian mereka sekalipun ditentang,” jelasnya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian