Polis tangkap Penerbit The Edge, Pengarang TMI
KUALA LUMPUR, 31 Mac – Polis hari ini, menangkap penerbit The Edge, Ho Kay Tat dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarang The Malaysian Insider (TMI), Jahabar Sadiq mengikut Akta Hasutan berhubung laporan portal berita liberal dan pro Barat itu mengenai undang-undang jenayah Islam atau hudud.
Menurut laporan portal berita itu, kedua-duanya ditahan apabila tiba di balai polis Dang Wangi pagi ini bagi direkodkan kenyataan mereka.
Semalam, polis dan pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyerbu pejabat The Malaysian Insider di Mutiara Damansara dan menahan tiga pengarang kanannya berhubung laporan yang mengaitkan Majlis Raja-Raja dan hudud.
Pada 25 Mac lalu, portal berkenaan melaporkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja menolak cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, undang-undang Persekutuan yang perlu dipinda kerajaan PAS Kelantan bagi membolehkan pelaksanaan hudud.
Berikutan itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja membuat laporan polis dipercayai merujuk kepada berita yang disiarkan itu selain satu berita penafian yang dikatakan dikeluarkan oleh pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Mengikut laporan portal berkenaan, polis akan memohon perintah reman ke atas Kay Tat dan Jahabar serta Pengarang Urusan, Lionel Morais, Pengarang Berita Bahasa, Amin Shah Iskandar dan Pengarang Analisis dan Rencana, Zulkifli Sulong.
“Tangkapan ini nampaknya lebih daripada sekadar laporan kami mengenai artikel hudud.
“Walaupun tangkapan dibuat, TMI akan terus membuat laporan tanpa takut atau pilih kasih. Urusan akan diteruskan seperti biasa,” kata Jahabar sebagaimana disiarkan portal berkenaan.
Dalam laporan berita mengenai penangkapan itu hari ini, portal berkenaan pada paragraf terakhir turut menyatakan bahawa The Edge dan TMI sebelum ini juga menyiarkan laporan berhubung masalah dihadapi syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Tidak dapat dipastikan kenapa portal berkenaan mengaitkan laporan 1MDB dalam berita tangkapan itu, namun ia dipercayai bertujuan mengumpan pembaca supaya memberi komen yang juga mengaitkan tangkapan itu dengan 1MDB.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan