1MDB: Muhyiddin tidak berlindung di sebalik sehelai ‘lalang’

pecat-1

Oleh Azri El

BANGI, Jumaat – Ketegasan Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘menongkah arus’ dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tidak boleh diperkecilkan apabila beliau menggesa semua Ahli Lembaga Pengarah syarikat pelaburan negara itu dipecat.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin, berkata pendirian Timbalan Perdana Menteri itu agar Datuk Seri Najib Razak bertindak demikian telah menggoncang keyakinan ahli UMNO dan rakyat sama ada kedua-dua pemimpin itu masih sehaluan.

“Muhyiddn tidak lagi dapat berselindung di sebalik sehelai lalang atas sokongannya terhadap Tun Dr Mahathir yang mahukan kekotoran 1MDB dibersihkan sebelum wabaknya menghancurkan UMNO dan kerajaan.

“Kenyataan Muhyiddin bahawa Najib tidak mahu dengar cakapnya mengesahkan cakap-cakap Tun Mahathir dan juga beberapa pihak bahawa Najib tidak mahu dengar cakap orang,” katanya dalam blog zamkata zamkata.blogspot.com.

Keraguan rakyat terhadap keserasian pemimpin itu katanya, akan memberi kesan kepada masa depan UMNO pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Sehubungan itu, Zainuddin berkata, satu mesyuarat tergempar Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO perlu diadakan segera bagi mengesahkan ikrar taat setia kepada Najib selaku Presiden.

“Mesyuarat tergempar ini juga perlu diadakan bagi membincangkan sama ada Muhyiddin wajar dipecat daripada MKT seperti yang lakukan terhadap Dr Mahathir Mohamed pada 26 September 1969 setelah Tunku mendedahkan ada pihak pelampau hendak merampas kuasa dalam parti.

“Sekiranya Muhyiddin tidak dipecat maka jalan penyelesaian mestilah dicari bagi memastikan kesepaduan UMNO jika salah seorang iaitu Muhyiddin atau Najib terpaksa berundur,” kata Zainuddin.

Bekas bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu itu berkata demikian sebagai mengulas satu rakaman video ucapan Muhyiddin dipercayai dibuat pada satu majlis tertutup bersama anggota UMNO, tersebar di internet, semalam.

Dalam rakaman itu, Muhyiddin mendedahkan beliau telah meminta Najib memecat semua Ahli Lembaga Pengarah 1MDB dan meminta polis untuk menyiasat.

“Najib tidak lagi dapat mengekalkan keyakinan rakyat dengan dakwaan beliau mendapat sokongan dalam parti dan rakyat berasaskan sokongan MKT dan ketua-ketua bahagian yang dipentaskan,” kata Zainuddin.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?