1MDB: Nazir gesa letak jawatan, lantik juruaudit bebas
BANGI, Jumaat – Sejak isu skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didedahkan, banyak pihak menggesa pihak pengurusan dan lembaga pengarah syarikat itu meletak jawatan.
Terbaru, Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak memberi kata dua kepada pengurusan 1MDB sama ada segera melantik juruaudit bebas atau meletak jawatan.
Nazir berkata, pengurusan 1MDB dilihat tidak bertanggungjawab dan lambat dalam menangani salah urus kewangan syarikat itu, dan hanya menunggu tindakan daripada Jabatan Audit Negara.
“Bagi saya, ini tidak bertanggungjawab. Jika ini tindakannya, lebih baik letak jawatan dan biar orang lain ambil alih.”
“Langkah segera yang dilakukan sebuah lembaga pengarah bertanggungjawab ialah melantik juruaudit bebas serta merta, sekiranya tidak, saya berpendapat lembaga pengarah dan pengurusan perlu letak jawatan,” kata Nazir kepada media pada majlis Asean Business Club (ABC) semalam.
Kenyataan Nazir terhadap 1MDB itu ibarat ‘pukul anak sindir menantu’ kerana Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB adalah Datuk Seri Najib Razak yang juga abangnya.
1MDB yang kini sedang dipersoalkan ekoran kegagalan pelaburan mereka sehingga menanggung beban hutang RM42 bilion. Kerajaan bagaimanapun menjamin RM16 billion daripada hutang itu.
Tempias turut terkena Lembaga Tabung Haji yang membeli tanah Tun Razak Exchange (TRX) milik 1MDB dengan harga RM188.5 juta yang dilihat cuba menyelamatkan syarikat sedang nazak itu dengan menggunakan dana awam.
Tabung Haji bagaimanapun bertindak mengumumkan akan menjual semula tanah tersebut selepas tindakan mereka itu menimbulkan resah di kalangan pencarum.
Terbaru, 1MDB dikatakan berdepan dengan tindakan enam bank luar negara yang mahunya segera melangsaikan hutang berjumlah AS$975 juta (RM3.6 bilion).
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan