Abdullah imam pertama lulusan universiti Katholik
SEATTLE, Rabu – Seorang imam dari Portland mencipta sejarah apabila menjadi Muslim pertama lulus dari sebuah universiti Katholik.
“Saya mencari tempat yang boleh menerima saya dengan wajah sebenar seorang Muslim, walaupun saya bukan Muslim terbaik,” kata Abdullah Polovina, yang mengetuai jemaah Islam Bosnia di Portland, kepada The Oregonian.
Abdullah, 41, menamatkan pengajiannya pada peringkat ijazah sarjana di Seattle University’s School of Theology and Ministry, baru-baru ini.
Beliau adalah orang Islam pertama pernah mendaftar di universiti itu.
Abdullah tinggal di Seattle lebih 10 tahun lalu sebelum berpindah ke Portland pada tahun 2013.
Memimpin Pertubuhan Pendidikan dan Kebudayaan Bosnia, beliau mula dikenali pemimpin universiti Seattle melalui beberapa acara dialog antara agama.
Mahu mengangkat pendidikan ke tahap lebih tinggi, Abdullah berkata, beliau mahu meneruskan pengajiannya.
Beliau berkata, pada awalnya agak tidak selesa belajar bible, namun lama-kelamaan beliau cepat memahami dan berkongsi perspektif sendiri mengenainya persamaan.
Ketika di dalam kelas, beliau membuktikan banyak persamaan antara Islam dan Kristian dari segi nilai moral sehingga tokoh-tokoh sejarah.
“Saya rasa seperti berada di kampung halaman sendiri.
“Saya menguatkan iman saya dan menguatkan diri saya sebagai pemimpin,” katanya yang juga seorang pendatang dari Yugoslavia.
Salah seorang dekan di kampus itu, Mark Markuly, memuji kesungguhan Abdullah dan menganggap beliau sebagai nilai tambah kepada universiti itu.
“Ramai pelajar yang tidak pernah tahu mengenai tradisi agama Islam.
“Namun dengan kehadiran beliau, ramai pelajar mengetahui lebih mendalam mengenai Islam,” kata Markuly.
Abdullah percaya bahawa Islam dan Kristian boleh duduk bersama, sama ada satu bilik kuliah atau negara.
“Kepercayaan adalah seperti makanan, apabila kita lapar, kita makan,” kata Abdullah. – Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan