Aset 1MDB di Singapura dalam bentuk ‘unit': Ahmad Husni
KUALA LUMPUR, Khamis – Selepas dua kenyataan saling bercanggah oleh Perdana Menteri berhubung bentuk simpanan milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di sebuah bank di Singapura semalam, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, hari ini tampil memberi penjelasan.
Menteri Kewangan II kedua itu berkata, Putrajaya telah tersalah tafsir mengenai wang dibawa pulang dari Kepulauan Cayman itu dan disimpan di sebuah bank di Singapura.
Sebaliknya kata Husni, aset yang dibawa pulang itu adalah dalam bentuk unit, bukan wang seperti yang dilapor sebelum ini.
“Saya rasa ini satu kesilapan, kesilapan dalam erti kata tafsiran apabila mereka (1MDB) mengatakan sudah menebus dan menyimpannya di sebuah bank di Singapura.
“Ia sebenarnya simpanan, ia dalam bentuk unit, ia disokong oleh dana kekayaan berdaulat,” kata ketika ditemui pemberita di luar Dewan Rakyat.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan nama bank di Singapura itu serta bentuk unit yang dimaksudkan.
Semalam, Datuk Seri Najib Razak mengakui tiada wang tunai milik 1MDB dibawa pulang dari Kepulauan Cayman dan disimpan di sebuah bank di Singapura.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Najib sebaliknya berkata, hanya baki pelaburan dalam bentuk aset disimpan di bank negara itu.
“1MDB sudah menjelaskan bahawa baki pelaburan yang telah ditebusnya adalah dalam bentuk aset di dalam mata wang dolar AS di sebuah bank di Singapura bertujuan untuk mengimbangi liabiliti US Dollar. Bank ini merupakan penjaga bagi pihak 1MDB untuk aset ini,” katanya.
Ia bercanggah dengan kenyataan awalnya, sebelum ini bahawa RM4 bilion daripada dana pelaburan 1MDB di Kepulauan Cayman telah dipindahkan ke bank Singapura untuk memudahkan urusan transaksi.
1MDB merupakan firma pelaburan yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.
Agensi pelaburan negara itu kini dilaporkan menanggung hutang RM42 bilion, mendapat kritikan banyak pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sementara itu, Najib, hari ini menafikan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, mengemukakan penyata bank palsu berkaitan akaun anak syarikat itu yang dikatakan daripada cawangan Bank BSI di Singapura.
“Kenyataan ahli Yang Berhormat bahawa Arul Kanda mendapat penyata bank yang bukan milik BSI adalah tidak benar,” kata Najib dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz (Raub-DAP) yang diedarkan di Dewan Rakyat, hari ini.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan