‘Bahaya jika ekstremis anti-Islam kuasai politik Malaysia’
BANGI, Selasa – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman meminta rakyat Malaysia supaya lebih peka mengenai bahaya pemikiran ekstrem yang anti-Islam dalam menguasai politik negara.
Katanya, mereka yang anti-Islam ini bukan sekadar antiagama bahkan memaksa umat Islam supaya melanggar pegangan agama mereka.
“Oleh itu kita harus terus berpegang teguh dengan kesederhanaan dan menolak pemikiran antiagama yang melampau.
“Misalnya, seperti yang dilakukan oleh China terhadap etnik Uighur di Xinjiang,” katanya dalam satu kenyataan kepada Ismaweb.
Pelbagai tindakan dan larangan dikenakan oleh kerajaan China ke atas umat Islam etnik Uighur di Xinjiang sejak 60 tahun lalu. Terkini, mereka dipaksa menjual arak dan rokok jika tidak mahu perniagaan mereka ditutup.
Ustaz Abdullah berkata, ISMA sebuah pertubuhan Islam sederhana menganggap tindakan China itu sebagai antiagama yang sangat melampau.
“Itu adalah diskriminasi kepada penindasan dan penafian hak beragama.
“Jadi China perlu menghentikan tindakan dan penghinaan mereka ke atas etnik Muslim Uighur selama ini,” katanya.
Pada 29 April lalu, kerajaan China mengeluarkan suatu notis arahan supaya peniaga umat Islam di Xinjiang wajib menjual arak dan rokok serta menayangkannya di kedai supaya dilihat oleh orang ramai.
Notis tersebut juga menyebut sesiapa yang gagal dalam mengikuti arahan ini boleh dihukum dengan ditutup perniagaannya serta dikenakan tindakan undang-undang.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan