(BERITA PENUH) Tun M persoal duit Tabung Haji untuk selamatkan 1MDB

mahathir-3

BANGI, 8 Mac – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan kesedihannya apabila wang milik pencarum Tabung Haji digunakan untuk menyelamatkan 1MDB.

Beliau turut mempersoalkan beginikah wang umat Islam yang disimpan untuk menunaikan haji diuruskan.

“Inikah cara Tabung Haji mengguna duit orang ramai yang diamanahkan kepadanya.

“Pencarum berharap duit yang disimpan dengan Tabung Haji diurus untuk kebaikan mereka tetapi wang ini diguna untuk menyelamatkan 1MDB yang telah hilangkan berbillion Ringgit.

“Rancangan ini perlu dibatal sekarang juga,” katanya dalam entri terbaru di laman blognya chedet.cc.

Katanya, 1MDB telah untung besar apabila Tabung Haji membeli satu setengah ekar tanah Tun Razak Exchange (TRX) dengan harga 188.5 Ringgit sedangkan tanah seluas 70 ekar dibeli oleh 1MDB dengan harga RM194.1 million untuk 70 ekar.

“Sekarang Tabung Haji membeli satu setengah ekar dengan harga 188.5 million Ringgit, hampir sama dengan harga 1MDB beli 70 ekar. Untung besarlah 1MDB.

“Sebenarnya tanah ini, asalnya untuk mengadakan pusat dagangan Bumiputera. Tetapi 1MDB telah mengetepikan projek ini,” kata Tun Mahathir lagi.

Semalam, Tabung Haji mengesahkan pihaknya membeli sebidang tanah pada harga diskaun RM188.5 juta dalam projek wilayah kewangan TRX yang dibangunkan oleh syarikat pelaburan negara, 1MDB.

Menurut Tun Mahathir, wang Tabung Haji adalah daripada pencarum dan Tabung Haji hanya diamanahkan untuk mengurus dengan baik, dengan cara yang dihalalkan oleh Islam.

“Tiada negara yang begitu berjaya mengumpul wang dari orang Islam yang berhajat untuk mengerja haji dari Malaysia dengan Tabung Hajinya.

“Wang yang ditabung sejak ditubuh Tabung Haji sudah meningkat sehingga ribuan juta Ringgit. Wang ini boleh dilabur supaya keuntungan dapat membantu pengurusan tabung haji dan subsidi kepada bakal haji.

“Wang Tabung Haji adalah dari pencarum dan Tabung Haji hanya diamanahkan untuk mengurus dengan baik, dengan cara yang dihalalkan oleh Islam. Wang ini bukan milik Tabung Haji,” katanya.

Sementara itu, Tun Mahathir mendesak Pengerusi Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tunku Abdul Aziz supaya menyiasat kes-kes yang dikatakan berlaku pada zaman pemerintahannya.

“Jika Tunku Aziz begitu prihatin terhadap gejala rasuah, siasatlah dan laporlah kes-kes berkenaan. Buktikan juga yang saya lesap duit kerajaan!!

“Jika tidak dapat diam sajalah,” katanya.

Tambah Tun lagi, telah ada laporan dibuat berkenaan Jho Low dan Riza Aziz, tetapi tiada satu pun siasatan dilakukan oleh Tunku Aziz.

“Tunku Aziz berkata dia sedia menyiasat Jho Low dan Riza Aziz jika saya buat laporan. Sebenarnya laporan telah dibuat oleh pihak lain tetapi tidak ada siasatan yang dibuat oleh sesiapa. Sebaliknya pihak yang melapor dimufliskan dan rumahnya telah digeledah,” tulisnya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?