BN kekal kerusi Rompin
ROMPIN, 5 Mei — Ketua Penyelarasan Jentera Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kanan) bersama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob (dua kiri) menjulang tangan Anggota Parlimen Rompin yang baharu Datuk Hasan Arifin selepas memenangi PRK Rompin dengan menewaskan calon PAS Nazri Ahmad di sini malam ini.?Turut hadir Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri).
–fotoBERNAMA (2015) HAKCIPTA TERPELIHARA
ROMPIN, 5 Mei – Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Rompin dalam pilihan raya kecil yang berlangsung, hari ini dengan majoriti 8,895 undi.
Calon BN Datuk Hasan Arifin, 62, mendapat 23,796 undi atau 61 peratus berbanding calon PAS Nazri Ahmad, 40, memperoleh 14,901 undi atau 39 peratus.
Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), Mei 2013, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis telah mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal itu dengan mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.
Jamaluddin mendapat 30,040 undi atau 66.53 peratus berbanding Nuridah dengan 14,926 undi atau 33.06 peratus.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Fadzilla Salleh di pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Rompin, malam tadi.
Fadzilla berkata, terdapat 591 kertas undi rosak pada pengundian itu.
Jumlah pemilih berdaftar yang keluar mengundi hari ini adalah 74 peratus daripada 53,294 pengundi berdaftar pada kali ini, 11 peratus lebih rendah daripada jumlah keluar mengundi pada PRU13, 46,035 atau 85.89 peratus.
PRK Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas. – Bernama
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan