CEO jual ‘ijazah palsu’ kena tangkap

pakistan2

KARACHI, Khamis – Pihak berkuasa Pakistan semalam menangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Axact, sebuah syarikat teknologi maklumat dan media, Shoaib Ahmed Shaikh atas tuduhan menjalankan perniagaan membekal ijazah palsu.

Laporan menyebut bahawa tangkapan dibuat selepas pasukan penyiasat menemui satu bilik simpanan yang penuh dengan sijil ijazah palsu.

Shoib, dan empat lagi eksekutif syarikat perisian itu pada mulanya dituduh melakukan penipuan, pemalsuan dan pemindahan wang haram, kata pegawai-pegawai penguatkuasa undang-undang.

Pertuduhan itu kemudiannya dipinda dengan menambah dua lagi tuduhan iaitu pengubahan wang haram dan perbuatan jenayah elektronik yang melanggar undang-undang Pakistan.

Tangkapan tersebut satu pukulan hebat kerana Axact adalah sebuah syarikat pengeksport perisian terbesar di Pakistan dan juga sedang memulakan rangkaian media dan televisyen utama negara itu.

Axact telah disiasat sejak 19 Mei, selepas satu artikel dalam The New York Times menggambarkan bagaimana syarikat itu telah menjana berjuta-juta dolar dengan mengendalikan beratus-ratus laman web pendidikan palsu.

Sejak itu, penyiasat persekutuan telah menyita pejabat Axact di Karachi dan Islamabad dan meminta bantuan daripada Interpol dan Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI).

Penggeledahan di sebuah rumah di kawasan kejiranan bersebelahan ibu pejabat Axact, kemudiannya menemui sebuah bilik yang penuh dengan sijil kosong yang mengandungi kepala surat palsu daripada berpuluh-puluh universiti dan sekolah tinggi seperti Bay View, Cambell State, Oxdell dan Nixon.

“Terdapat beribu-ribu dokumen di sana,” kata Shahid Hayat, ketua pejabat agensi penyiasatan persekutuan tempatan, yang mengetuai siasatan itu.

Pakistan telah meminta bantuan FBI kerana ejen Axact terdiri daripada pelajar universiti berpangkalan di Amerika Syarikat, yang beroperasi melalui akaun bank dan e-mel untuk menjual ijazah palsu kepada rakyat Amerika.

Ejen jualan Axact juga turut menjual sijil pengesahan Jabatan Negara yang mengandungi tanda tangan Setiausaha Negara John Kerry.

Pakar mengatakan bahawa ijazah palsu boleh menimbulkan bahaya kepada keselamatan awam dan keselamatan negara termasuk penipuan imigresen. – Agensi

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?