Dr Wan Azizah, Hasan angkat sumpah anggota Parlimen baharu
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Hasan Arifin masing-masing mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh dan Rompin yang baharu pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-13 yang bermula hari ini.
Upacara itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan anggota Parlimen yang lain sebaik persidangan dewan bermula.
Dr Wan Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kembali ke Dewan Rakyat selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh dengan majoriti 8,841 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Suhaimi Sabudin yang mendapat 21,475 undi.
Beliau mempertahankan kerusi itu yang sebelum ini disandang Penasihat PKR yang juga suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang hilang kelayakan selepas didapati bersalah dan dijatuhi hukuman lima tahun penjara kerana meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lepas.
Sementara Hasan mempertahankan kedudukan BN di Rompin apabila menewaskan calon PAS Nazri Ahmad dengan majoriti 8,895 undi. Nazri Ahmad memperoleh 14,901 undi.
Sesi pada pagi ini turut menyaksikan Dr Wan Azizah secara rasmi dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
Pandikar mengumumkan perkara itu selepas Dr Wan Azizah mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen, mengikut Peraturan Mesyuarat 4a(3).
“Mengikut maklum balas yang saya diterima dan saya berpuas hati dengan maklum balas bahawa Datuk Seri Dr Wan Azizah telah sebulat suara mendapat sokongan anggota Parlimen pembangkang untuk dilantik sebagai ketua pembangkang.
“Anggota Parlimen Permatang Pauh selamat kembali ke Parlimen dan selamat bertugas kembali sebagai ketua pembangkang,” kata Pandikar.
Dr Wan Azizah yang memenangi kerusi Permatang Pauh pada pilihan raya umum ke-12, telah mendapat sokongan Pakatan Rakyat (PR) untuk memimpin pembangkang dalam Dewan Rakyat dari Mac hingga Julai 2008.
Beliau mengosongkan kerusi Permatang Pauh pada Julai 2008 selepas suaminya yang juga Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan hasratnya kembali aktif dalam politik.
Bagaimanapun, Dr Wan Azizah yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang bertanding pada pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 7 Mei lepas, selepas Anwar dijatuhi hukuman penjara.
Terdahulu, sesi persidangan dimulakan ceria apabila kebanyakan anggota Parlimen menepuk meja sebaik Pandikar, yang sebelum ini heboh dikatakan telah meletakkan jawatan, melangkah masuk ke dewan persidangan.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu forum di Ipoh, dilaporkan mendedahkan bahawa Pandikar, 59, telah meletakkan jawatan sebagai Speaker Dewan Rakyat.
Perkara itu bagaimanapun dinafikan Pandikar yang menegaskan tidak akan meletakkan jawatan dan akan mempengerusikan sidang Dewan Rakyat yang bermula hari ini. – BERNAMA
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan