Xpresi Circle 3: Jelajah Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
KUALA TERENGGANU, 28 April - Xpresi Circle 3 membawa para peserta menjelajah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk memberi gambaran awal tentang kehidupan di universiti.
Program yang dianjurkan oleh Kelab Remaja ISMA (KRIM) dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Kuala Terengganu ini menunjukkan keterujaan para peserta untuk meneroka dan membuka minda mereka tentang kepelbagaian kursus pengajian, kemudahan dan infrastruktur yang disediakan serta cabaran kehidupan di universiti. Selain diberi taklimat serta menikmati kemudahan di Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah, mereka turut dibawa memasuki bangunan fakulti serta makmal pembelajaran.
"Saya rasa gembira dan bersyukur berada dalam program ini kerana dapat berjalan mengelilingi kawasan UMT ini terutamanya ketika di perpustakaan menyebabkan saya rasa tidak sabar untuk memasuki alam universiti", ujar Saudari Erra Fazira Mamat, salah seorang peserta program.
Sesi perkongsian pengalaman oleh Saudari Roziah Ghazi; wakil KRIM yang juga pelajar sarjana Ekologi UMT turut menjadi suntikan semangat buat peserta yang hadir. Semoga program kali ini memberi manfaat kepada mereka untuk mempersiapkan diri menghadapi dunia universiti beberapa bulan lagi.
Ulasan
Catat Ulasan