FB kelab Myvi kena ‘serang’ gara-gara kemalangan maut tiga beranak
BANGI, 2 April – Ibarat seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit. Demikian apa yang berlaku kepada sebuah kelab kereta MyVi, Familia Myvi Club, apabila sehingga malam tadi laman Facebook (FB) mereka ‘diserang’ bertalu-talu oleh pengguna media sosial.
Ini semua gara-gara enam ahli kelab berkenaan dikatakan berlumba atau memandu laju di Lebuhraya DUKE menghala ke Damansara tengah malam tadi mengakibatkan kemalangan yang menyebabkan suami isteri dan bayi mereka berusia tujuh bulan terbunuh akibat dirempuh.
Laman FB Familia Myvi Club menerima kunjungan ratusan pengguna FB yang rata-rata mengecam kelab berkenaan serta tindakan ahli kumpulan itu yang memandu laju menyebabkan kemalangan maut itu.
Boleh dikatakan semua pengunjung FB kelab berkenaan melahirkan rasa marah dan tidak puas hati mereka selepas gambar-gambar kemalangan itu menjadi viral dalam FB.
Selain mengecam dan mengutuk kelab berkenaan yang dikatakan tidak menjaga moral ahli mereka, sesetengahnya berharap tindakan tegas diambil terhadap mereka yang terbabit.
Serangan terhadap kelab berkenaan menjadi-jadi hingga ada pihak yang membuka laman baru dikenali sebagai ‘Familia MurderMyvi Club – FMC‘ yang setakat malam tadi menerima 4,074 like.
Selain itu, pengguna laman FB juga menyemak nombor pendaftaran sebuah kereta milik ahli kelab berkenaan dengan sistem semakan online PDRM dan mendapati ianya mempunyai 11 saman sehingga hari ini.
Sementara itu, jurucakap kelab berkenaan yang hanya dikenali sebagai Yana menafikan kumpulan enam kereta itu tidak berlumba.
Ismaweb difahamkan semua pemandu kereta Myvi yang berkonvoi sebelum nahas itu dikatakan sudah menyerah diri kepada polis.
Polis menyiasat kemalangan itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang menyatakan:
“Mana-mana orang yang memandu suatu kenderaan motor di jalan dengan melulu atau dengan kelajuan atau dengan cara yang, setelah mengambil perhatian tentang segala hal keadaan (termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan, dan kesesakan lalu lintas yang dijangkakan yang ada atau mungkin ada di jalan itu, adalah merbahaya kepada orang awam, menyebabkan kematian mana-mana orang adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.”
Sementara itu, jenazah Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya, Nova Safitri Azhari, 27, dan bayi mereka, Nur Firuza Annisa berusia tujuh bulan disembahyangkan di Surau An-Najah, Taman Batu Muda sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda selepas Asar tadi.
Pasangan berkenaan meninggalkan dua lagi anak perempuan Nova Safitri Nur Firuza Amira, 7, dan Nur Firuza Aqila, 4, yang berada di rumah nenek mereka di Putrajaya ketika nahas.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan