Gereja Taman Medan: UMNO beri surat tunjuk sebab kepada ahli
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 7 Mei – UMNO Selangor tidak ada kena mengena dengan tindakan ahlinya yang menyertai bantahan dan demonstrasi terhadap kewujudan gereja haram di Taman Medan, Petaling Jaya, bulan lalu.
Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar, berkata tidak ada apa yang perlu diperjelaskan mengenai perkara itu.
“Ia tidak ada kena mengena dengan UMNO Selangor. Lagipun ahli UMNO yang pergi demonstrasi itu hadir atas kapasiti NGO,” katanya ketika dihubungi bagi mengulas langkah UMNO Pusat memberi surat tunjuk kepada beberapa ahlinya kerana menyertai demonstrasi itu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor dipetik sebagai berkata, UMNO mengarahkan ahlinya yang menyertai himpunan membantah salib di gereja haram Taman Medan pada 19 April lalu memberi penjelasan bertulis berhubung tindakan mereka itu.
Jawapan mereka akan dirujuk kepada Lembaga Disiplin.
Antara yang terlibat ialah abang Ketua Polis Negara, Datuk Abdullah Abu Bakar, dan bekas Ketua Wanita UMNO Petaling Jaya Selatan, Munaliza Hamzah.
19 April lalu satu demonstrasi aman diadakan bagi membantah kewujudan gereja di kawasan Taman Medan Petaling Jaya. Penduduk di situ mendesak supaya lambang salib tersebut diturunkan dengan segera dan gereja yang diwujudkan itu segera berpindah ke kawasan lain.
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang menjalankan siasatan mendapati gereja itu beroperasi secara haram.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali senada, mengecam tindakan penduduk melakukan demonstrasi itu kerana dianggap tidak menghormati hak agama lain.
Malah, penduduk pula dipersalahkan dan polis diarah mengambil tindakan mengikut Akta Hasutan terhadap penunjuk perasaan terbabit.
Kawasan Taman Medan dihuni 90 peratus penduduk beragama Islam menyebabkan sesetengah pihak berpendapat gereja tidak sepatutnya membuka rumah ibadat mereka di kawasan itu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan