Jual arak: Persatuan Ulama Muslimin Sedunia kecam China
QATAR, Selasa – Persatuan Ulama Muslimin Sedunia menyifatkan tindakan kerajaan China yang memaksa umat Islam berbangsa Uighur di Xinjiang menjual arak dan rokok sebagai suatu tindakan yang kejam serta melanggar hak kebebasan seorang manusia.
“Tindakan ini bukan sahaja melanggar akidah serta kepercayaan bagi seorang Muslim, ianya turut bertentangan dengan hak kebebasan seorang peniaga.”
Setiausaha Persatuan Ulama Muslimin Sedunia, Syeikh Dr Ali Qara Daghi, berkata demikian dalam suatu kenyataan yang dikeluarkannya semalam.
Katanya, kerajaan komunis China perlu menarik kembali arahan paksaan itu kerana boleh menggugat suasana hidup secara harmoni sesama manusia yang berlainan agama dan kepercayaan.
“Bahkan umat Islam Uighur yang merupakan kelompok majoriti yang sepatutnya diberikan kembali hak-hak lain yang turut telah dirampas oleh kerajaan China,” katanya.
Pada 29 April lalu, kerajaan China mengeluarkan suatu notis arahan supaya peniaga umat Islam di Xinjiang wajib menjual arak dan rokok serta menayangkannya di kedai supaya dilihat oleh orang ramai.
Notis tersebut juga menyebut sesiapa yang gagal dalam mengikuti arahan ini boleh dihukum dengan ditutup perniagaannya serta dikenakan tindakan undang-undang.
“Kami juga menyeru umat Islam di sana untuk terus teguh menuntut hak mereka yang merupakan suatu keadilan dengan tuntutan secara aman serta berdasarkan perundangan,” tegas Dr Ali Qara Daghi. – Agensi
BERITA BERKAITAN:
China arah peniaga Islam jual arak, rokok
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan