KATA-KATA PEDANG: Ambil pedoman derita umat Islam di Myanmar, China dan Palestin
UMAT Islam di Malaysia boleh dikatakan beruntung jika dibandingkan dengan umat Islam di negara lain seperti Myanmar, China dan Palestin.
Keperluan hidup yang asasi adalah lebih daripada mencukupi bagi sesetengah keluarga.
Walaupun begitu, tidak dinafikan masih ada lagi segelintir saudara seakidah kita yang tidak bernasib baik.
Jika dibandingkan dalam sudut kebebasan beragama, kita boleh menunaikan ibadah dengan sempurna. Termasuk juga penganut agama lain, keamanan dan keadilan yang ada menjamin hak semua dalam beragama.
Lain pula kisahnya bagi bangsa Uighur yang beragama Islam di China.
Tidak dapat dibayangkan betapa teruk penindasan yang mereka hadapi. Bertudung pun tidak boleh.
Begitu juga bagi saudara seakidah kita Rohingya. Sudahlah tidak diiktiraf sebagai warganegara, mereka terpaksa menggadai nyawa merantau ke negara lain bagi meneruskan kehidupan.
Rakyat Palestin pula, yang merupakan contoh hidup perjuangan umat Islam hari ini, hidup mereka semakin ditekan. Pada bila-bila masa Israel boleh menyerang. Kehidupan di kem pelarian, tidak ubah seperti penjara yang serba kekurangan.
Artikel berkaitan: KATA-KATA PEDANG: Masa depan kita bagaimana?
Orang Melayu di Malaysia perlu mengambil iktibar di atas apa yang menimpa saudara seakidah kita di negara lain.
Selain berusaha membantu mereka melalui kutipan tabung kecemasan dan ceramah-ceramah kesedaran, kita perlu sedar bahawa tanah ini perlu dikekalkan di bawah hak milik umat Islam.
Jangan sesekali membiarkan pihak lain menguasai setiap inci tanah kita.
Biarlah masa depan kita dicorak oleh kita sendiri dengan acuan Melayu Islam. Bukannya dengan acuan pemikiran jahiliyah yang diimport dari Barat.
Jika kita terlepas tanah ini, tiada lagi tanah untuk kita berdaulat. Saat itu, barulah kita sedar betapa peritnya penderitaan yang dilalui oleh saudara seakidah kita di Myanmar, China dan Palestin.
Saat itu, tangisan darah pun sudah tidak berguna lagi!
KATA-KATA PEDANG adalah satu ruangan baru di ISMAweb. Ia adalah segmen lidah pengarang dan diterbitkan setiap hari.
Penafian: Artikel ini mewakili pandangan ISMAweb dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan