(KEMAS KINI) Muhyiddin syor pecat Lembaga Pengarah 1MDB
BANGI, Khamis – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dilaporkan berkata, kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) mesti memecat keseluruhan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB atau berdepan risiko kalah pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau tidak dapat memahami bagaimana agensi pelaburan negara itu mampu menyelesaikan longgokan hutangnya yang banyak dalam tempoh yang singkat.
“Saya cakap terus terang, tak ada apa saya nak sembunyikan, saya tak ada apa nak takut kecuali Allah.
“Saya bagitahu PM, buang semua Ahli Lembaga Pengarah 1MDB. Buang la, sebab mereka membuatkan PM terpaksa menanggung,” katanya.
Sambil mendesak agar polis dipanggil menyiasat, beliau juga berkata, beliau tidak dapat memahami bagaimana agensi pelaburan negara itu boleh menanggung hutang sehingga RM42 bilion dalam masa yang singkat, dan ia menjadi krisis luar biasa bagi negara.
“Kalau syarikat itu saya punya, bangun pagi dilaporkan ada perkara luar biasa berlaku, dengan tak semena-mena CEO buat hal pinjam sampai RM10 bilion, setiap bulan saya kena bayar faedah RM100 juta hingga RM200 juta… Apa anda akan buat?
“Buang lah. CEO buang. Dan bukan sekadar buang tetapi panggil polis untuk jalankan siasatan.
“Tak pernah saya terfikir mana-mana syarikat di dunia tanggung sebegitu beban,” katanya seperti disiarkan dalam klip video sebuah blog hari ini.
Ucapan itu dibuat dalam satu majlis dan rakaman video itu kini tersebar di laman sosial dan blog.
Turut kelihatan dalam rakaman itu termasuk Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi dan Ketua Penerangan, Datuk Ahmad Maslan.
Sebagai pengarah pilihan raya BN, isu 1MDB kata Muhyiddin, menjadi beban kepadanya, dan dia tidak dapat menjawab persoalan yang diajukan berhubung isu itu.
1MDB merupakan firma pelaburan yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.
Agensi pelaburan negara itu kini dilaporkan menanggung hutang RM42 bilion, mendapat kritikan banyak pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kelmarin, Tun Dr Mahathir mencadangkan satu suruhanjaya ditubuhkan bagi menyiasat operasi 1MDB yang sedang nazak itu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan