Kerajaan Turki jemput ISMA jadi pemerhati pilihan raya
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, Jumaat – Kewibawaan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sebagai pertubuhan Islam sederhana dan aktif di Malaysia mendapat pengiktirafan Kerajaan Turki apabila dijemput menjadi pemerhati pada pilihan raya negara itu yang bakal diadakan 7 Jun ini.
Berikutan itu, ISMA menghantar satu delegasi terdiri daripada kepemimpinan kanannya ke Turki sejak 27 Mei lalu bagi melakukan pemantauan bebas.
Timbalan Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya, yang mengetuai delegasi ISMA berkata, mereka akan berada di negara itu sehingga 1 Jun ini.
“Kehadiran wakil pemerhati ISMA adalah atas jemputan Kerajaan Turki yang melihat ISMA sebagai pertubuhan yang besar, aktif dan berwibawa di Malaysia,” katanya ketika dihubungi di Turki, hari ini.
Antara lain yang menyertai delegasi itu ialah Ketua Pemuda ISMA, Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad; Ketua Unit Politik Wanita ISMA, Rasyidah Arshad dan Ahli Biro Politik ISMA, Abd Aziz Sardan.
Haji Aminuddin berkata, delegasi juga telah berjumpa dan berbincang dengan Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu dan menghadiri siri ceramah politik di bandar, Siirt.
“Ketika siri ceramah itu, puluhan ribu rakyat hadir dalam kempen berkenaan. Namun, terdapat sedikit pergaduhan antara penyokong AK Parti dengan penyokong parti lawan.
“Namun difahamkan, peluang AK Parti untuk menang adalah cerah walaupun mendapat tentangan daripada parti-parti lawan. Ini kerana rata-rata penduduk Turki masih menyokong AK Parti,” katanya.
Selain itu katanya, mereka sempat berbincang mengenai isu-isu politik Turki dengan beberapa ahli politik AK Parti. Pertemuan juga telah diadakan dengan AK Parti di pejabat mereka di Istanbul.
Menyifatkan layanan kerajaan Turki terhadap delegasi ISMA sangat baik, Haji Aminuddin berkata, delegasi itu akan ke Angkara bagi mengadakan beberapa siri perbincangan dengan kepemimpinan AK Parti.
Untuk rekod, 550 kerusi Parlimen akan menjadi rebutan pada pilihan raya Turki kali ini.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan