Kerana beragama Islam siswazah dinafikan kerja
MUMBAI, Sabtu – Hanya kerana beragama Islam, seorang pemuda India dinafikan untuk berkerja di sebuah syarikat pengeksport barang kemas.
Zeeshan Khan, 23, yang memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), dimaklumkan bahawa permohonan kerjanya ditolak kerana syarikat tersebut, Hari Krishna Exports Pvt Ltd hanya menerima bukan Islam.
“Jawapan firma itu terlalu cepat menunjukkan bahawa mereka tidak pun membuka CV saya dan memutuskan untuk menolak saya hanya kerana saya adalah seorang calon yang beragama Islam,” katanya kepada BBC.
Tidak puas hati dengan jawapan syarikat itu, Zeeshan kemudian membuat laporan polis dan memuat naik paparan skrin e-mel jawapan dari syarikat itu di media sosial.
Syarikat itu kemudian dilaporkan menerima kritikan meluas di atas sikap mereka yang mengamalkan diskriminasi agama.
Ia memaksa syarikat itu tampil membuat penjelasan bahawa jawapan melalui e-mel kepada Zeeshan telah tersilap dihantar oleh kakitangan pelatih daripada bahagian sumber manusia.
Penjelasan firma itu bagaimanapun mengeruhkan lagi keadaan dan menimbulkan banyak persoalan.
Ada yang mendakwa, suasana di negara itu mula berubah selepas kumpulan nasionalis Hindu berkuasa sejak tahun lalu.
Menurut seorang ahli sejarah Saleem Kidwai ia adalah salah satu tindakan antiminoriti yang mula digerakkan setahun lalu.
Kes tersebut kini mencetus perbincangan mengenai diskriminasi agama di India.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan