Kubur Rohingya: Pegawai polis Thailand ditukar

kubur-rohingya

Anggota polis Thailand memusnahkan sebuah kem haram pelarian asing di dalam hutan di sempadan Thailand-Malaysia dekat Padang Besar, semalam.

PADANG BESAR, 6 Mei – Lima belas pegawai polis Thailand, termasuk Ketua Polis Daerah Satun, Mejar Jeneral Sunthorn Chalermkiat ditukarkan kerana mempunyai kaitan dengan sindiket pemerdagangan manusia di kawasan seliaan mereka.

Arahan pertukaran itu dikeluarkan oleh Ketua Polis Thailand, Jeneral Somyot Poompunmoung, semalam, selepas penemuan kubur besar dan kem menempatkan pelarian Rohingya dan Bangladesh dekat sempadan Thailand-Malaysia di sini.

Isnin lalu, seorang lelaki Rohingya dan tiga pegawai kerajaan tempatan dihadapkan ke mahkamah kerana disyaki terbabit dalam sindiket pemerdagangan manusia dan meminta wang tebusan.

Empat lagi warga Thailand ditahan, termasuk seorang yang dilaporkan menyerah diri, lapor akhbar The Nation.

Penangkapan dan penemuan kem pelarian serta kubur besar itu adalah kejayaan pertama pihak berkuasa negara itu dalam membanteras sindiket pemerdagangan manusia.

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha mengarahkan tindakan tegas diambil ke atas mana-mana pegawai kerajaan yang ada hubungan dengan sindiket pemerdagangan manusia, kata jurucakap kerajaan, semalam.

Amaran itu dikeluarkan selepas lima lagi kubur ditemui di dalam hutan berhampiran kem haram pendatang asing dekat sempadan Thailand-Malaysia.

Kolonel Sansern Kaewkamnerd berkata, Perdana Menteri telah mengarahkan pihak pentadbiran tempatan, termasuk polis dan pegawai tentera memeriksa kawasan masing-masing bagi mengesan sebarang kes pemerdagangan manusia atau kegiatan jenayah lain, termasuk pembalakan haram dan penyeludupan dadah.

“Pegawai tempatan pada semua peringkat sama ada di kampung atau daerah diarah menyiasat kawasan di bawah bidang kuasa mereka untuk mengesan sebarang kem haram menempatkan pendatang asing,” katanya.

Katanya, mana-mana pegawai yang gagal berbuat demikian akan dipindahkan ke tempat lain sebagai hukuman.

“Jika ada lagi kejadian serius seperti di daerah Sadao di wilayah Songkhla, pegawai yang terbabit akan dipindahkan. Ini kerana mereka gagal menguatkuasakan undang-undang,” katanya.

Beliau merujuk kepada penemuan sebuah kubur besar di sempadan Thailand-Malaysia di sini, di mana 26 mayat pendatang dipercayai etnik Rohingya Myanmar dan Bangladesh ditemui di sebuah kem baru-baru ini.

“Mana-mana pegawai yang didapati menerima rasuah atau memperoleh keuntungan peribadi akan berdepan dengan tuduhan jenayah, selain daripada tindakan disiplin,” katanya. – Agensi

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian