Muktamar ‘pemutus cinta’ PAS dan pakatan rakyat
PERSOALAN sama ada PAS akan terus bersama pakatan rakyat (PR) atau sebaliknya, bakal diketahui selepas muktamar parti itu yang dijadual berlangsung awal bulan depan.
Iklim panas yang melanda hubungan PAS-PKR dan PAS-DAP bermula dengan ‘Langkah Kajang’ sehingga isu perlaksanaan hudud di Kelantan, meletakkan parti Islam itu kini dalam dilema.
Ibarat episod drama ‘Becinta’ (benci tapi cinta), tindakan parti cauvanis DAP yang mahu terus bersama PAS tetapi memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tidak boleh diterima oleh akar umbi PAS.
Abdul Hadi dalam dialog di My Bazaar Harakah baru-baru ini turut memberi gambaran seperti hubungan dalam PR tidak akan berpanjangan.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS wajar marah kepada DAP kerana ia tuntutan syariat ekoran parti cauvanis itu menolak hukum Allah.
Terbaru semalam, Abdul Hadi dengan jelas berkata, PAS sedia menamatkan hubungan dengan DAP, ekoran keangkuhan parti berasaskan perkauman itu yang mahu membentuk Kabinet bayangan tanpa penglibatan PAS dan PKR, yang disifatkan sebagai ‘tidak masuk akal’.
Bagi Abdul Hadi, DAP tidak berpijak dibumi nyata sedangkan Malaysia adalah sebuah negara bermasyarakat majmuk.
Dengan dua kenyataan itu sedikit sebanyak memberi klu awal kerangka ucapan dasar Presiden PAS itu pada muktamar nanti yang bakal menyentuh pendirian hubungan dalam PR.
Ironinya, Dewan Ulama PAS dalam beberapa siri multaqa yang diadakan mahu keberadaan PAS dalam PR dikaji semula.
Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang juga pengerusi Majlis Syura Ulama PAS, beberapa kali menyentuh perkara itu dalam kenyataannya termasuk ketika berucap pada Muktamar PAS di Johor tahun lalu.
Bagaimanapun, muktamar tahun lalu memutuskan untuk terus bersama dalam PR, namun penilaian harus dilakukan dari semasa ke semasa.
Dengan perkembangan tidak sihat yang melanda dan boleh disifatkan sebagai ‘kemuncak keretakan’, nasib kelangsungan perikatan longgar mereka bakal ditentukan.
Mengambil kira sentimen akar umbi yang dilihat cenderung mahu PAS kembali bergerak sendirian seperti sebelum 2008, mungkin muktamar kali ini adalah pemutus hubungan PR.
Tidak dinafikan, ketiga-tiga parti mengakui banyak manfaat politik yang diperoleh mereka sejak bergabung.
Bagaimanapun bagi PAS, cita-cita politik bukanlah matlamat utama dalam PR.
PAS sering kali menegaskan, jika Islam terhina dengan PR, mereka tidak teragak-agak untuk meninggalkan pakatan itu.
Faktor Anwar Ibrahim yang selama ini dilihat orang tengah hubungan antara PAS-DAP, tidak lagi relevan selepas Ketua Umum PKR itu, kini berada dalam penjara ekoran disabit kesalahan dalam kes Liwat ll.
Malah kumpulan Anwarinas dalam PAS juga dilihat bakal terpelanting dalam pemilihan kali ini.
Kata Pedang: Eloklah ‘Mike Tyson’ angkat kaki tinggalkan PAS sebab dia langsung tidak membantu. Khalifah Umar Abdul Aziz pandai baca al-Quran dan pandai juga memerintah!
Penafian: KATA-KATA PEDANG adalah segmen lidah pengarang yang diterbitkan setiap hari dan pandangan yang dilontarkan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sebagai pertubuhan Islam sederhana.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan