Nahas DUKE: Menteri beri amaran kepada ‘orang dalam’
KUALA LUMPUR, 4 Mei – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran supaya tiada ‘orang dalam’ yang terbabit dalam siasatan kes kemalangan maut mengorbankan tiga beranak di Lebuhraya DUKE, 2 Mei lalu.
Bercakap kepada pemberita ketika melawat keluarga mangsa di Taman Batu Muda, di sini, hari ini beliau memberi jaminan siasatan telus akan dijalankan bagi memastikan individu yang menjadi punca kematian tiga beranak itu dihadapkan segera ke muka pengadilan.
‘Walaupun ada kenyataan di mana ahli Familia MyVi Club (FMC) mempunyai orang dalam, kes ini akan diadili dengan telus.
“Jangat ingat ada orang dalam, individu terbabit boleh terlepas. Polis tidak akan menutup kes ini dengan mudah walaupun terdapat keterangan yang bercanggah daripada suspek dan saksi utama.
“Kalau saya dapati ada penglibatan orang dalam sekalipun, orang itu juga akan diambil tindakan tegas,” katanya menziarahi keluarga mangsa di kediamannya di Taman Batu Muda, di sini, tadi.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan seorang wanita yang dipercayai jurucakap FMC yang hanya dikenali sebagai Yana yang mendakwa dia mempunyai ‘orang dalam’ bagi membantu kes berkenaan.
Dalam nahas kira-kira jam 12.30 tengah malam Sabtu lalu, pemandu Pajero Sport Fairuz Nizam Husain, 35, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka Nur Firuza Annisa berusia 6 bulan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Kejadian dilaporkan berlaku ketika pasangan itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Gombak apabila kenderaan mereka dirempuh dari belakang oleh sebuah daripada enam kereta Myvi anggota kelab terbabit yang didakwa dipandu dengan laju.
Pelanggaran itu menyebabkan Fairus Nizam hilang kawalan sebelum sebuah lagi Myvi dari kelab yang sama merempuh Pajero itu menyebabkan kenderaan berkenaan melambung dan terbalik beberapa kali. Tiga beranak itu dilaporkan tercampak di atas jalan raya.
Kemalangan itu menyebabkan hingga ke hari ini pengguna laman sosial mengecam tindakan pemandu enam kenderaan kerana memandu terlalu laju.
Malah, ada pengguna yang memuat naik klip video yang menunjukkan enam pemandu Myvi berkenaan memandu laju melepasi tol di lebuh raya berkenaan.
BERITA BERKAITAN:
1. Angkara 6 MyVi berlumba, tiga beranak tidak bersalah terbunuh
2. Polis masih siasat kemalangan maut 3 beranak
3. FB kelab Myvi kena ‘serang’ gara-gara kemalangan maut tiga beranak
4. Klip video Myvi dipandu laju sebelum nahas tersebar luas
Ulasan
Catat Ulasan