‘Najib, 1MDB gagal tunjuk wang disimpan di Singapura dalam bentuk nyata’
Oleh Azri El
BANGI, Jumaat – Pihak pengurusan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), termasuk Najib perlu dianggap bersalah selagi dana pelaburannya agensi itu belum ditemui, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri berkata, dalam perniagaan kerugian boleh terjadi disebabkan kelemahan pelaburan atau pengurusan, dan itu tidak boleh diterima walaupun pengurus dan ketua pegawai eksekutifnya dipecat.
“Wang itu didakwa dilaburkan di Cayman Islands dan didakwa sudah dibawa balik dan berada di Singapura, namun wang itu tidak boleh ditunjukkan dalam bentuk nyata.
“Maka pengurusan (1MDB) mesti bertanggungjawab ke atas kehilangannya. Andaian mestilah bahawa pengurusan telah menyalahgunakan wang itu, melainkan jika dibuktikan sebaliknya,” katanya.
Beliau merujuk kepada status pelaburan 1MDB berjumlah AS$1.103 bilion (RM4 bilion) di bank luar pesisir Cayman Islands, yang kini masih misteri.
Sebelum ini, Tun Dr Mahathir mengatakan bahawa Najib berbohong ketika memberi jawapan di Dewan Rakyat dengan mengatakan wang 1MDb disimpan di Singapura.
Selepas dua kenyataan saling bercanggah oleh Perdana Menteri berhubung bentuk simpanan milik 1MDB di sebuah bank di Singapura, baru-baru ini, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, tampil memberi penjelasan.
Beliau berkata, Putrajaya telah tersalah tafsir mengenai wang dibawa pulang dari Kepulauan Cayman itu dan disimpan di sebuah bank di Singapura, sedangkan aset yang dibawa pulang itu adalah dalam bentuk unit, bukan wang seperti yang dilapor sebelum ini.
“Saya rasa ini satu kesilapan, kesilapan dalam erti kata tafsiran apabila mereka (1MDB) mengatakan sudah menebus dan menyimpannya di sebuah bank di Singapura. Ia sebenarnya simpanan, ia dalam bentuk unit, ia disokong oleh dana kekayaan berdaulat,” kata ketika ditemui pemberita di luar Dewan Rakyat.
Mengulas isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Tun Dr Mahathir mendakwa tindakan kerajaan memperkenalkan cukai itu kerana untuk menampung beban hutang negara, di mana 1MDB adalah antara puncanya.
Selain 1MDB, syarikat Pembinaan PFI Sdn Bhd juga mengalami kerugian yang turut menambah beban kewangan negara.
“Apabila syarikat ini mengalami kerugian, beban kewangan kerajaan akan meningkat.
“Dengan memperkenalkan GST, kerajaan sebenarnya meminta orang ramai, termasuk yang tidak sepatutnya dikenakan cukai pendapatan untuk menyelamatkan kerajaan,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan