Nazir selar 1MDB ‘buat-buat sibuk’ tak hadir siasatan PAC

nazir

BANGI, Selasa – Pengurusan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terus diselar ekoran keengganan dua orang kanan syarikat sarat hutang itu, hadir dalam siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang sepatutnya berlangsung hari ini.

Antara yang tidak berpuas hati dengan perkembangan itu termasuk Pengerusi CIMB, Datuk Seri Nazir Razak yang juga adik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Nazir mempersoal sikap Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang ‘buat-buat terlalu sibuk’ sehingga tidak dapat hadir.

“Syarikat anda mencetuskan krisis nasional dan anda boleh pula terlalu sibuk untuk menghadapi (siasatan) Parlimen? Ini tidak boleh diterima,” kata Nazir melalui akaun Instagram.

1MDB dalam kenyataan semalam menjelaskan tarikh yang ditetapkan untuk memberi keterangan di PAC itu bertembung dengan satu temujanji di luar negara.

Sementara itu, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, hari ini mengesahkan menerima laporan dari Monetary Authority of Singapore (MAS) berhubung aduan BSI Bank Ltd Singapore mengenai akaun yang dikaitkan dengan 1MDB.

“Maklumat itu akan diberikan kepada agensi lain mengikut bidang kuasa Malaysia,” katanya dalam satu sidang media.

Zeti bagaimanapun enggan menamakan agensi yang menerima maklumat berkenaan untuk menjaga kerahsiaan dan kepecayaan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia.

1MDB merupakan firma pelaburan yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan, di mana Najib adalah pengerusi lembaga penasihat syarikat itu.

Agensi pelaburan negara itu kini dilaporkan menanggung hutang RM42 bilion, mendapat kritikan banyak pihak.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian