PAC mula siasat 1MDB 19 Mei

nur jazlan

KUALA LUMPUR, Isnin – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan prosiding siasatan ke atas syarikat pelaburan kerajaan, 1MDB, dalam beberapa sesi bermula 19 Mei ini.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan (MoF), Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negara (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rahmat Bivi Abdullah adalah antara individu yang dipanggil untuk prosiding berkenaan.

PAC dianggotai oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional dan pembangkang.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy serta bekas CEO pertama 1MDB, Datuk Shahrul Ibrahim Halmi yang berkhidmat pada Mac 2009 hingga Mac 2013, juga akan dipanggil bagi sesi kedua pada 26 Mei.

Beliau berkata, PAC pada perbincangan khas yang diadakan pada 30 April lalu sebulat suara bersetuju memulakan prosiding siasatan terhadap 1MDB.

“Dalam perbincangan ini, semua ahli PAC yang terdiri daripada lapan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) serta lima daripada pembangkang sebulat suara bersetuju memanggil semua pihak terbabit dalam pengurusan kawalan tadbir urus syarikat 1MDB sejak ia mula ditubuhkan pada 2009 selepas ditukar fungsi daripada Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA).

“PAC akan memulakan prosiding dengan memanggil Pegawai Pengawal syarikat 1MDB iaitu Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Pengarah EPU yang pernah hadir memberikan keterangan kepada jawatankuasa ini pada 2012,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, surat panggilan terhadap Kementerian Kewangan dan EPU sudah dihantar pada 6 Mei lalu dan mengikut peraturan dan kuasa yang diberikan kepada PAC oleh Parlimen Malaysia, semua pihak berkaitan perlu hadir di hadapan jawatankuasa ini.

Nur Jazlan berkata, EPU ada menghantar surat balas kepada PAC pada Jumaat lalu selepas surat panggilan dikeluarkan pada 6 Mei lalu dengan memaklumkan unit berkenaan tidak bertanggungjawab terhadap tadbir urus syarikat 1MDB.

Bagaimanapun Nur Jazlan berkata, PAC tetap mahu EPU hadir memberikan keterangan di hadapan jawatankuasa berkenaan kerana mereka pernah hadir sebanyak dua kali bagi menjelaskan mengenai pelaburan syarikat berkenaan selain turut bertanggungjawab terhadap pembangunan tanah Tun Razak Exchange (TRX) serta Bandar Malaysia, Sungai Besi.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian